HALAMAN SANTAI

Sabtu, 28 April 2018

Tiga penjuru di kerusi panas Langkawi

Oleh Nur Atiqah Abdul Samad
Post Pic


LANGKAWI: Kerusi panas Parlimen Langkawi (P004) menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Barisan Nasional (BN), PKR dan PAS.

BN masih diwakili penyandangnya Datuk Nawawi Ahmad, PKR mencalonkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, manakala PAS diwakili Zubir Ahmad.

Sementara itu kerusi DUN Ayer Hangat (N01) juga berdepan tiga penjuru, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid (BN), Johari Bulat (PKR) dan Azlina Azinan dari PAS.

Bagi kerusi DUN Kuah pula menyaksikan pertandingan empat penjuru, wakil BN Nor Saidi Nanyan, Mohd Firdaus Ahmad (PKR), Mazlan Ahmad (PAS) dan seorang calon Bebas Mohd Ratu Mansor.
Kesemua calon berkenaan diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Mohd Arof Darus, pada jam 11.35 pagi.

Arof berpuas hati selepas menyemak semua borang pencalonan dan tidak ada calon yang ditolak pencalonannya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kali ini rata-rata menyaksikan pertandingan tiga penjuru di kesemua kawasan Parlimen dan DUN selepas Pakatan Rakyat (PR) berpecah dan menubuhkan Pakatan Harapan (PH) ekoran PAS meninggalkan parti itu berikutan masalah dalaman parti.

Untuk rekod, Dr Mahathir sebelum ini merupakan anggota parlimen Kubang Pasu sejak kawasan parlimen itu disenaraikan pada 1974 pada PRU ke-4 dan berkhidmat selama 30 tahun sehingga 2004.

Nawawi telah menyandang kerusi parlimen Langkawi sejak 2013, apabila mengalahkan Ahmad Abdullah (PKR) dengan jumlah 21,407 undi.

Parlimen Langkawi mempunyai 42,697 pengundi.

Tiada ulasan: