HALAMAN SANTAI

Rabu, 25 April 2018

Fitnah BN pula setebal Encyclopedia Britannica, kata Kit Siang

MALAYSIAKINI

   
PRU14 l Jika dakwaan Perdana Menteri Sementara, Datuk Seri Najib Razak kononnya fitnah pembangkang boleh jadi setebal Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang berkata fitnah daripada Umno dan BN pula adalah setebal keseluruhan 32 jilid Encyclopedia Britannica.

Najib, dalam catatan di blog berkata jika beliau menyenaraikan setiap satu lemparan fitnah yang dibuat pembangkang, ia boleh menjadi setebal Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka.

Semakan dalam talian oleh Malaysiakini mendapati bahawa edisi keempat Kamus Dewan mempunyai 1,817 muka surat manakala edisi ke-15 dari 32 jilid Encyclopedia Britannica mempunyai 32,640 halaman.



Sementara itu, Lim meluahkan simpatinya kepada Najib, yang mendakwa beliau dan keluarganya sering menjadi mangsa fitnah pembangkang.

"Tetapi bagaimana dia begitu yakin pemimpin pembangkang yang bertanggungjawab? Saya sendiri pernah menjadi mangsa fitnah tetapi bolehkah saya dakwa dia (Najib) secara peribadi bertanggungjawab? " soalnya.

Veteran DAP itu seterusnya mencabar Najib untuk mengadakan satu pertemuan dengannya bagi membincangkan mengenai fitnah yang dilemparkan kepada kedua-dua pihak.

"Perjumpaan di mana setiap kita boleh membawa lima hingga 10 kes pembohongan, berita palsu dan maklumat palsu dalam tempoh lima tahun lalu dan yang mana pihak satu lagi harus dipertanggungjawabkan.

"Jika hati nurani Najib bersih dan dia bersedia untuk pertemuan terbuka itu, biarlah dia berkata demikian, dan kita boleh bergerak ke peringkat seterusnya dengan melantik wakil-wakil yang akan memuktamadkan butiran mengenai tempat, tarikh dan masa serta syarat-syarat seperti - siaran langsung, penyertaan orang ramai dan sebagainya," katanya.

Tiada ulasan: