HALAMAN SANTAI

Rabu, 25 April 2018

MOHD PUAD PERLU TERIMA HAKIKAT- ZAHID




Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi diminta berjiwa besar dan menerima keputusan parti yang tidak mencalonkannya untuk bertanding di Parlimen Batu Pahat.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kepemimpinan parti itu mempunyai alasan kukuh di sebalik pengguguran mana-mana penyandang kerusi atau ‘calon lama’ bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), 9 Mei ini.

Beliau berkata, keputusan yang dibuat parti itu adalah hasil kajian terperinci landskap politik semasa di sesebuah kawasan ditandingi, termasuk sokongan di peringkat akar umbi.

“Pengguguran beliau di kawasan Parlimen Batu Pahat dibuat selepas penilaian terperinci dilakukan mengikut politik landskap di kawasan berkenaan.

“Kawasan Batu Pahat adalah kawasan ‘parah’ dengan kerosakan serta hakisan sokongan kepada BN. Dengan itu, kita perlu meletakkan calon berpotensi untuk merampas kerusi itu daripada PKR,” katanya di Kuching pada Isnin.

Ahmad Zahid berkata demikian sebagai mengulas isu pengguguran Ketua Bahagian UMNO Batu Pahat itu sebagai calon BN. Mohd Puad sebelum ini dimaklumkan akan bertanding sebagai calon Bebas di Batu Pahat ataupun DUN Senggarang selepas kecewa apabila dipinggirkan.

Sementara itu Ahmad Zahid, berkata mana-mana penyandang kerusi atau ‘calon lama’ yang digugurkan perlu bersikap terbuka dalam menerima keputusan dibuat kepemimpinan parti dalam memastikan kelangsungan parti, khususnya bagi menghadapi PRU14 yang disifatkan sebagai ‘ibu pilihan raya’.

“Mesti ada sedikit ‘daya tahan’ dan bersedia menerima hakikat dalam menghadapi situasi ini. Malah, saya pernah menerima tekanan dan desakan lebih hebat dulu, namun tidak sesekali saya membelakangkan parti, apa lagi meninggalkan parti, kita kena terus setia dengan parti,” katanya.


Tiada ulasan: