HALAMAN SANTAI

Khamis, 26 April 2018

Doktor tak pasti jika penuntut UPNM ada alahan ubat

 
Saksi berkata beliau membekalkan 2 jenis antibiotik dan 2 suntikan kepada Zulfarhan Osman ketika mangsa datang ke kliniknya pada 27 dan 31 Mei 2017.


Mangsa, Zulfarhan Osman dikatakan dalam keadaan sedar, mampu berjalan sendiri dan masuk ke bilik rawatan tanpa bantuan. (Gambar Facebook)


KUALA LUMPUR: Pegawai perubatan yang merawat Kadet Zulfarhan Osman Zulkarnain yang meninggal dunia dipercayai akibat didera rakan seuniversitinya, memberitahu Mahkamah Tinggi, beliau tidak pasti adakah mangsa mengalami alahan pada ubat-ubatan ekoran muntah-muntah ketika datang ke kliniknya untuk mendapatkan rawatan kali ke-2, sehari sebelum mangsa meninggal dunia.

Pegawai Perubatan Klinik As-Salam Bandar Baru Bangi, Dr Azfar Hussin, 34, berkata beliau ada membekalkan 2 jenis antibiotik dan 2 suntikan kepada Zulfarhan Osman ketika mangsa datang ke kliniknya untuk menerima rawatan pada 27 Mei dan 31 Mei 2017.

“Pada 27 Mei, Zulfarhan diberikan antibiotik jenis ‘Augmentin’ dan 1 suntikan mengandungi 2 ubatan iaitu ‘Voltaren Ampoule’ dan ‘Maxolon’, manakala ketika rawatan kali ke-2 pada 31 Mei, beliau diberikan suntikan sama dan antibiotik jenis ‘Zinnat’,” katanya ketika pemeriksaan balas peguam Zamri Idrus pada hari ke-4 perbicaraan kes membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan Osman hari ini.

Saksi pendakwaan ke-7 itu berkata, pada 1 Jun 2017, rakan Zulfarhan Osman ada menghubungi klinik tersebut dan memberitahu mangsa mengalami muntah-muntah dan buang air besar namun ketika ditanya Zamri adakah perkara berkenaan tanda mangsa mengalami alahan kepada ubat, Dr Azfar menjawab dia tidak pasti.

Dr Azfar yang merupakan pemilik klinik itu berkata sebelum memberikan ubat dan suntikan tersebut beliau terlebih dahulu bertanya pada Zulfarhan Osman sama ada mangsa alah pada ubat-ubatan tertentu, namun tidak membuat catatan mengenainya dalam rekod rawatan.

Terdahulu mahkamah ditayangkan video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di klinik tersebut yang menunjukkan Zulfarhan Osman dibawa 4 rakannya ke klinik berkenaan untuk mendapatkan rawatan kali pertama antara 12 tengah hari dan 1 tengah hari, 27 Mei 2017, 5 hari sebelum Zulfarhan Osman meninggal dunia pada 1 Jun 2017.

Kepada cadangan peguam Amer Hamzah Arshad, saksi itu bersetuju rakaman CCTV itu menunjukkan Zulfarhan Osman dalam keadaan sedar, mampu berjalan sendiri dan masuk ke bilik rawatan tanpa bantuan.

Dr Azfar juga bersetuju mangsa bukan dalam keadaan kritikal dan mampu membuat keputusan sendiri termasuk keputusan untuk mendapatkan rawatan lanjut di hospital.

Beliau turut mengakui cadangan Amer Hamzah, sebagai seorang pegawai perubatan, beliau tidak mempunyai kuasa untuk memaksa seseorang pesakit menerima rawatan apatah lagi jika pesakit itu dalam keadaan stabil dan sedarkan diri dan keengganan pesakit mendapatkan rawatan susulan adalah kecuaian di pihak pesakit itu sendiri.

Enam penuntut UPNM iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan Osman di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM, antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei 2017.

Pertuduhan terhadap mereka yang semua berusia 22 tahun itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 dan 109 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mereka bersama 13 lagi penuntut lain turut didakwa atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mangsa bagi maksud hendak memerasnya untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 7 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung esok.

Tiada ulasan: