GERIK: Dua beranak terbunuh manakala seorang lagi parah selepas
kenderaan yang mereka naiki terhumban ke gaung di Kilometer 27, Jalan
Raya Timur Barat (JRTB) Gerik- Kupang di sini, malam tadi.
Mereka dikenali sebagai Md Zahar Md Ali, 38, anggota tentera Laut
Diraja Malaysia (TLDM) dan anak lelakinya, Muhammad Faris, 7.
Kedua-duanya disahkan meninggal di tempat kejadian akibat parah.
Anak lelaki Md Zahar iaitu Muhammad Firdaus, 9, parah di kepala. Dia
kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh selepas
mendapat rawatan awal di Hospital Gerik, di sini.
Mengesahkan perkembangan itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Ismail
Che Isa berkata, siasatan awal mendapati kereta PROTON Exora dinaiki
tiga beranak dari arah Gerik ke Kupang itu terbabas sebaik tiba di
kawasan menuruni bukit dipercayai akibat dipandu laju.
Katanya, kereta berkenaan terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira 200 meter.
"Seorang saksi yang melalui jalan itu ternampak mangsa yang parah
(Muhammad Faris) dalam keadaan berlumuran darah di tepi jalan sebelum
berpatah balik untuk memberikan bantuan.
"Dia (saksi) dimaklumkan oleh mangsa yang bapa dan adiknya terjatuh ke
dalam gaung sebelum menghubungi talian kecemasan untuk mendapatkan
bantuan," katanya dalam kenyataannya di sini, hari ini.
Ismail berkata, mayat Muhammad Faris berjaya dibawa keluar dari dalam
gaung kira-kira jam 10.25 malam manakala mayat Md Zahar sejam selepas
itu.
"Mayat dua beranak itu dibawa ke Unit Forensik Hospital Gerik dan bedah
siasat akan diadakan pagi ini untuk mengetahui punca kejadian.
"Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, " katanya.
Ismail berkata, hasil percakapan dengan isteri mangsa mendapati suami
dan dua anaknya itu dalam perjalanan pulang ke kampung di Baling, Kedah
untuk menziarahi ibu bapanya yang tidak sihat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan