HALAMAN SANTAI

Sabtu, 28 April 2018

Penduduk berang Dusuki dakwa Seksyen 18 banyak rumah urut

MALAYSIAKINI

   
PRU14 | Penduduk Seksyen 18, Shah Alam tidak senang dengan dakwaan penceramah Ahmad Dusuki Abd Rani yang mendakwa kawasan mereka dipenuhi rumah urut.

Waki penduduk Seksyen 18, Mohd Hazry Daud berkata, dia dan sebahagian penduduk kawasan itu mendapati kenyataan calon PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik itu tidak berasas.

"Saya sudah tinggal hampir 30 tahun di Seksyen 18 dan tidak pernah melihat kewujudan mana-mana pusat urut di kawasan ini.

"Tuduhan Ahmad Dusuki tanpa bukti kukuh melalui ceramahnya itu mencemarkan serta memburukkan imej penduduk di sini," katanya dipetik Sinar Online.

Dalam klip video yang tersebar di media sosial sebelum ini, Ahmad Dusuki dalam ceramahnya menyebut berhubung pembangunan 'international zone' oleh kerajaan negeri Selangor di Shah Alam.

Dalam klip video itu, Ahmad Dusuki turut menyebut beberapa kawasan secara spesifik termasuklah Seksyen 7, Seksyen 18 dan Seksyen 25 yang menurutnya merupakan kawasan maksiat di Shah Alam.

"Kalau tuan-tuan nak tengok musnahnya Shah Alam, tuan-tuan biarkan dan bagi kemenangan mereka (kerajaan negeri Selangor) berkuasa. Akan berkembang lagi kawasan-kawasan maksiat ini.

"Belum cukup lagikah rumah-rumah urut yang banyak di Seksyen 25, seksyen 18," katanya.

Susulan itu, Mohd Hazry dan kira-kira 50 penduduk Seksyen 18 hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam untuk membuat laporan polis semalam bagi menggesa siasatan dibuat terhadap kenyataan Ahmad Dusuki itu.

Mohd Hazri menambah, Ahmad Dusuki selaku agamawan sepatutnya cermat dalam mengeluarkan kenyataan menerusi ceramah beliau dan tidak sepatutnya membuat fitnah demi survival politiknya.

"Kami penduduk Seksyen 18 sangat kecewa dan terhina dengan kenyataannya dan mahu beliau membuat permohonan maaf secara terbuka.

"Selain itu, polis juga diminta menyiasat perkara ini secara adil, " katanya.

Sementara itu, Ahmad Dusuki yang ditemui pemberita enggan mengulas lanjut perkara itu.

"Nantilah kita jawab," katanya.

LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan: