HALAMAN SANTAI

Khamis, 26 April 2018

Siasatan berkait Felda menghantui calon menentang Najib di Pekan

 
Beberapa penganalisis memberi pandangan mereka mengenai langkah mencalonkan Zahid Mat Arip untuk melawan perdana menteri di Pekan.


Zahid Mat Arip, cucu arwah Ghafar Baba, pernah bertugas di bawah bekas pengerusi Felda, Isa Samad. (Gambar Facebook)


PETALING JAYA: Keputusan Pakatan Harapan (PH) meletakkan Zahid Mat Arip, bekas pegawai Felda, bertanding menentang Datuk Seri Najib Razak di Pekan mengundang persoalan kontroversi ahli politik PPBM itu berkait siasatan rasuah terhadapnya, tetapi beliau dipandang sebagai “berani, lantang dan berpengetahuan politik”.

Zahid, cucu kepada arwah Tun Ghafar Baba yang pernah menjadi timbalan bekas perdana menteri kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, ditahan tahun lalu berkait pembelian hotel oleh satu unit Felda di Kuching, tetapi tiada tuduhan dikenakan ke atasnya.

“Saya rasa meletakkan Zahid sebagai calon membuka laluan untuk PH dikritik berkenaan dwistandard dan ia boleh menjejaskan peluang mereka di Pekan,” kata penganalisisDatuk Seri Mohamed Mustafa Ishak dari Universiti Utara Malaysia.

Bagaimanapun, Prof Madya Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata Zahid “terkenal kerana sikap berani, lantang dan berpengetahuan politik”.

“Apa yang penting beliau lebih terkenal dan popular dalam kalangan orang ramai.”

Sementara aktivis Cynthia Gabriel dari kumpulan anti-rasuah, Pusat Memerangi Rasuah dan Korupsi (C4) berkata rakyat harus menolak calon yang berkait dengan kes korupsi.

Zahid yang juga ahli Majlis Tertinggi PPBM, ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Ogos lepas bagi membantu siasatan ke atas pembelian hotel dengan harga lebih tinggi berbanding nilai pasaran oleh Felda Investment Corporation (FIC) di Kuching.

Beliau menafikan sebarang salah laku dan mendakwa penahanan itu satu bentuk penganiayaan.

Mustafa berkata, ahli politik pembangkang sebelum ini menyeru pemimpin yang dituduh dengan korupsi meletak jawatan.

“Jadi jika mereka letakkan seseorang yang dikaitkan dengan siasatan yang masih diteruskan, ia tidak memberi cerminan baik kepada mereka.”

Beliau turut merujuk Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

“Lim sedang dibicarakan atas dakwaan salah guna kuasa dalam meluluskan permohonan penukaran status tanah oleh seorang ahli perniagaan wanita, dan satu lagi tuduhan berkaitan pembelian banglonya dari ahli perniagaan wanita itu.”

Awang Azman berkata walaupun Zahid disiasat, beliau tidak disabit bersalah atas sebarang jenayah.

Jika Zahid diminta untuk tidak bertanding kerana siasatan itu, ramai calon lain dari parti lain juga tidak boleh bertanding sebagai calon pilihan raya atas alasan sama, katanya.

Zahid pernah menjadi pegawai khas kepada bekas pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad yang juga dipalit kontroversi, di tengah-tengah dakwaan korupsi terhadap Felda.

Isa juga ditahan semasa siasatan SPRM ke atas dakwaan korupsi dalam Felda. Tiada tuduhan dikenakan terhadapnya.

Cynthia berkata pihaknya berpegang kepada pendirian sama berkenaan calon yang dipalit kontroversi selepas spekulasi tentang Isa dilihat sebagai bakal calon di Negeri Sembilan, di mana beliau dahulu pernah menjadi menteri besar.

Zahid sebelum ini pernah memfailkan tuntutan untuk mengubah status Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB. Bagaimanapun, tindakan itu digugurkan.

PH sebelum ini mahu meletakkan Kamarul Ariffin Mohd Shahar mencabar Najib di Pekan, tetapi beliau berkata beliau diminta oleh Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memberi laluan kepada Zahid.

Najib menyandang kerusi Pekan sejak 1976 selepas menggantikan bapanya, perdana menteri kedua, Tun Abdul Razak.

Pada pilihan raya umum lalu, beliau menang dengan majoriti 35,613 undian, menentang Mohd Fariz Abd Talib dari PKR yang memperoleh 15,665 undian.

Tiada ulasan: