SEREMBAN: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr
Mahathir Mohamad dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, didakwa
sebagai dua individu penting yang menghalang pentadbiran Islam
dilaksanakan di Kelantan dan Terengganu.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata Dewan Undangan
Negeri Kelantan dan Terengganu di bawah pentadbiran PAS meluluskan
undang-undang jenayah syariah yang bersifat mendidik masyarakat,
masing-masing pada awal serta penghujung 1990-an.
Beliau berkata, bagaimanapun mereka tidak dapat melaksanakannya kerana
ditentang oleh Dr Mahathir dan Anwar yang ketika itu adalah Perdana
Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.
"Tiba-tiba bila dah lulus, Dr Mahathir hantar surat kepada Menteri
Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat memberi amaran supaya jangan
laksanakan... kalau laksanakan undang-undang itu, Kerajaan Pusat akan
bertindak.
"Oleh kerana kita mahu memelihara hubungan, kita bawa undang-undang itu
ke Parlimen. Saya sendiri membawa usul dan membentangkan Rang
Undang-Undang Persendirian, namun kita disekat dan dihalang," katanya
pada sidang media selepas ceramah perdana jelajah Presiden PAS dan
munajat PRU-14 di sini, malam tadi.
Turut hadir pada majlis itu ialah Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Mustaffa Daharun.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, perjuangan PAS berhubung
undang-undang berkenaan akhirnya menampakkan hasil apabila kerajaan
Persekutuan ketika ini, sedia berunding dan bersetuju dengan usul
pindaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 2016
(RUU 355) untuk dibentangkan di Parlimen.
Pindaan yang dicadangkan itu antara lain meningkatkan bidang kuasa
Mahkamah Syariah untuk menjatuhkan hukuman penjara maksimum hingga 30
tahun, hukuman denda maksimum hingga RM100,000 dan hukuman sebatan rotan
100 kali.
Abdul Hadi berkata, Dr Mahathir juga menghalang kerajaan negeri
Kelantan mentadbir mengikut cara sendiri dengan menubuhkan Jabatan
Persekutuan untuk mengendalikan urusan negeri.
Selain itu, Abdul Hadi mendakwa kerajaan pusat di bawah pimpinan Dr
Mahathir dan Anwar Ibrahim turut melewatkan pemberian geran kepada
kerajaan negeri bertujuan menyukarkan mereka membayar gaji kakitangan
kerajaan.
Ketika ditanya mengenai kemungkinan untuk bergabung dengan BN atau
pembangkang sekali lagi, beliau dengan berseloroh berkata akan
menubuhkan kerajaan perpaduan jika mereka dapat memenuhi tuntutan PAS
supaya menerapkan dasar Islam dalam pentadbiran.
Terdahulu PAS Negeri Sembilan mengumumkan pertambahan satu lagi kerusi
Dewan Undangan Negeri (DUN), menjadikan bilangan keseluruhan 27 kerusi
akan ditandingi PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Mengulas lanjut, Mustaffa berkata, PAS mencalonkan Mejar (B) Abdul
Halim Abu Bakar yang turut bertanding di Parlimen Tampin untuk
bertanding di DUN Gemas.
PAS Negeri Sembilan sebelum ini mengumumkan bertanding di semua lapan kerusi Parlimen dan 26 DUN pada PRU-14.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan