PRU14 | Biar apa pun yang akan dikata orang, Datuk Dr Puad Zarkashi tetap tidak peduli. Beliau sudah membuat keputusan muktamad dan tidak lagi peduli.
Bukan tidak ada orang yang menyokong dan berharap dia bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) kali ini. Dapat difahami daripada gambaran yang diberikannya, sokongan itu bukan saja daripada anggota Umno.
Ketika orang lain bertumpu ke pusat penamaan calon di seluruh negara hari ini anggota Majlis Tertinggi Umno itu sebaliknya "melencong" ke destinasi lain.
Kata Puad, semua itu berlaku atas kehendak Allah yang Maha Mengasihani.
"Daripada melencong ke pusat penamaan calon di Pejabat Daerah Batu Pahat, saya dan keluarga meneruskan perjalanan ke Johor Bahru untuk mengiringi anak perempuan saya, Nur Hanini Mohd Puad, ke majlis persandingannya di sebelah pihak keluarga lelaki di Bandar Baru UDA pada hari ini," katanya.
Cerita Puad semasa singgah di kawasan rehat dan rawat Machap seorang lelaki India yang tidak dikenalinya menyapa, malah mendoakan beliau menang dalam PRU jika bertanding sebagai calon bebas.
"Dan semasa makan malam di medan selera sebelah Dataran MBJB, pemilik warung itu sempat menasihatkan saya jangan bertanding bebas," katanya.
Puad ialah ketua Umno Batu Pahat yang pernah dilantik menjadi timbalan menteri sebelum tumbang di kerusi parlimen itu pada PRU ke-13 lalu.
Memiliki ijazah doktor falsafah, Puad, 60, kemudian dilantik sebagai ketua pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang berada di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
Puad juga anggota Majlis Tertinggi Umno.
Gigih mempertahankan kerajaan dan Datuk Seri Najib Razak, BN membuat kejutan apabila tidak menyertakan nama Puad sebagai salah seorang calon mereka dalam PRU ke-14 yang akan berlangsung pada 9 Mei ini.
Keluarga adalah segalanya
Langkah itu mencetuskan rasa tidak puas hati sehingga akhirnya beliau meletakkan jawatan di JASA. Puad juga disebut-sebut bakal bertanding sebagai calon bebas.
Kata Puad dengan keputusannya tidak bertanding, akan ramai orang mengutuk beliau, malah melabelnya sekadar "hangat-hangat tahi ayam" atau cuma berani marah atau mengugut.
"Biarlah saya berahsia kenapa tidak jadi bertanding.
"Daripada begitu ramai yang meminta saya jangan bertanding bebas, ada beberapa pandangan saya ambil kira di saat akhir yang menukar pendirian saya," katanya.
Puad juga yakin landskap politik terutamanya di Johor akan berubah selepas PRU ke-14 ini. Justeru, katanya banyak pihak menyarankan beliau bangkit melawan habis-habisan.
"Jika saya menjadi calon bebas, sudah tentu saya tidak akan dapat bersama dengan anak dan keluarga di majlis persandingan pada hari ini.
"Tetapi Hanini, isteri dan keluarga meredakan jika sebaliknya berlaku. Mereka sudah bersedia jika saya tidak dapat bersama.
"Ternyata keluarga adalah segala galanya. Mereka lebih memahami. Merekalah benteng terakhir saya dan sudah tentu Allah yang maha pengasih dan penyayang," katanya.
Kini Puad menyatakan beliau akan memulakan "langkah baru" dan sedar ada pihak bakal mentertawakannya.
"Percayalah, saya tetap tabah.
"Semua ini menjadikan saya lebih berani untuk melawan sistem rosak yang diperkudakan oleh segelintir pemimpin tidak bertanggungjawab. Tiada siapa yang boleh menggerunkan saya kecuali Allah," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan