KUALA LUMPUR: Jenazah dua penuntut Malaysia yang maut dalam kemalangan
di Pekanbaru, Riau, Indonesia kini dalam proses dibawa pulang ke kampung
halaman masing-masing.
Dalam kejadian 3.30 petang waktu tempatan itu, Mohamad Shaiful Bukhari
Ammat, 25, dan Ameer Hakimi Azman, 20, maut selepas motosikal dinaiki
mereka melanggar sebuah lori yang berhenti di tengah jalan di Pekanbaru.
Jurucakap Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia mengesahkan perkembangan itu ketika dihubungi sebentar tadi.
"Kami sedang usahakan laluan perjalanan terpantas untuk menghantar jenazah mereka ke kampung halaman masing-masing.
"Malah, ahli keluarga Ameer juga sudah tiba di Pekanbaru," katanya dipetik BH Online.
Kedua-dua mangsa adalah penuntut Universiti Islam Negeri Sultan Sharif
Kasim PekanBaru, dalam jurusan Undang-undang Keluarga Islam dan
Bimbingan Kaunseling Islam.
Katanya, kedua-dua penuntut terbabit dibawa ke Rumah Sakit Aulia yang berhampiran lokasi kejadian.
"Bagaimanapun, Amer dipindahkan ke hospital lain berdasarkan jangkaan
awal pihak hospital bahawa kecederaan dia tidak terlalu serius.
"Namun pemeriksaan lanjut mendapati bahawa dia mengalami kecederaan parah pada tulang rusuk sebelum disahkan meninggal dunia.
"Saiful yang berasal dari Sabah disahkan meninggal dunia kira-kira jam 5
petang waktu tempatan, manakala Ameer yang berasal dari Pulau Pinang
dilaporkan meninggal dunia jam 5.35 petang di hospital berlainan,"
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan