HALAMAN SANTAI

Isnin, 30 April 2018

'Inilah Mahathirisme - kena ikut cara dia saja'

MALAYSIAKINI

   

PRU14 | Datuk Seri Najib Razak menyifatkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai individu berusia 90-an yang enggan menyesuaikan diri dengan peredaran masa dan perkembangan teknologi, apabila berjanji untuk menyemak semula perkhidmatan pengangkutan berasaskan aplikasi, Grab jika Pakatan Harapan (HARAPAN) menang pada PRU ini.

Najib berkata, dalam usaha meraih sokongan pemandu teksi pengerusi HARAPAN itu tidak mengambil kira manfaat perkhidmatan itu kepada rakyat.

"Pendekatan yang betul berkaitan perkhidmatan ini adalah menyerap manfaatnya kepada rakyat, pada masa sama membantu pemandu teksi kita untuk menggunakan teknologi baru dan membantu mereka membeli kenderaan baru," katanya di Facebook.

Sejak 2012, katanya, kerajaan memberikan banyak bantuan kepada pemandu teksi dengan yang terbaru kelulusan automatik untuk BR1M dan kad bantuan teksi 1Malaysia.




"Kerajaan juga telah membantu pemandu teksi melalui inisiatif seperti Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1MA), insurans peribadi dan peruntukan RM200 juta melalui Bank Simpanan Nasional untuk membolehkan pemandu teksi membuat pinjaman membeli kenderaan baru.

"Pada 2015, kerajaan menyemak semula kadar tambang dan pada 2016 Program Transformasi Industri Teksi dilancarkan," katanya lagi.

'Inilah Mahathirisme'

Najib berkata lagi, Bajet 2018 menyediakan geran RM5,000 untuk pembelian kenderaan baru khusus kepada pemandu teksi yang ingin beralih kepada perkhidmatan pengangkutan berasaskan aplikasi.

Beliau berkata kerajaan juga mengumumkan semua pemandu perkhidmatan itu perlu mematuhi peraturan dan syarat sama seperti pemandu teksi bagi mewujudkan persaingan yang sihat dan saksama.

"Bagi yang mengundi untuk kali pertama, anda mungkin tidak melalui tahun-tahun Mahathirisme. Inilah Mahathirisme, kena ikut cara beliau saja.

"Tengok apa beliau buat pada Proton. Proton boleh menjadi jenama kereta multinasional yang menguntungkan dan dibanggakan rakyat Malaysia. Tetapi apa yang terjadi ia sentiasa perlukan bantuan kerajaan dan wang pembayar cukai untuk bersaing.

"Adakah kita ingin kembali ke masa lalu, atau melangkah ke depan ke tahap lebih tinggi?" kata Najib.


Tiada ulasan: