HALAMAN SANTAI

Jumaat, 27 April 2018

1MDB alat politik pembangkang - Arul Kanda

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
SEREMBAN: Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy menyelar tindakan portal berita yang menerbitkan artikel kononnya beliau gagal menjawab isu berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
 
Malah, Arul turut menyifatkan ia tindakan tidak beretika selain penulisnya adalah pengecut kerana tidak bertemu dan mendapatkan maklum balas beliau sebelum menerbitkan artikel berkenaan.
 
Menurutnya, beliau kecewa apabila sebuah portal berita menerbitkan artikel kononnya gagal memberi penjelasan berhubung misteri kehilangan dana RM42 bilion.
 
Artikel berkenaan secara sinis menyatakan beliau adalah 'god-sent' kepada pembangkang kerana soal jawab bersama wartawan di pejabat portal berkenaan di ibu kota dua minggu lalu, gagal membuktikan bahawa isu syarikat itu sudah selesai.
 
"Saya sendiri pergi ke pejabat berkenaan dan empat wartawan menemubual saya bertanyakan pelbagai soalan mengenai isu 1MDB dan saya menjawab semua soalan diajukan berdasarkan fakta.
 
"Saya berada di pejabat itu selama tiga jam tetapi penulis artikel terbabit tidak berada pada sesi temubual itu. Selepas itu, dia mengeluarkan artikel yang secara terang mahu 'bantai' saya," katanya ketika ditemui pada majlis bicara isu-isu semasa di Dewan Besar Gedong Lalang di sini, malam tadi.
 
Katanya, walaupun pelbagai penjelasan yang dibuat mengenai syarikat pelaburan strategik itu, namun masih ada pihak yang cuba memburukkan keadaan dan menimbulkan keraguan masyarakat.
 
Menurutnya, pembangkang terus menjadikan isu 1MDB sebagai senjata politik mereka bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan.
 
Arul berkata, beliau tetap dengan pendirian bahawa isu 1MDB adalah masalah perniagaan yang dipolitikkan oleh pembangkang selain menegaskan semua masalah itu sudah diselesaikan melalui pelan rasionalisasi syarikat.
 
Beliau sudah menjelajah seluruh negara untuk memberi ceramah dan penjelasan berhubung isu 1MDB, selain membuat pelbagai kenyataan media bagi menjelaskan isu berbangkit.
 
Dalam sesi bicara berkenaan, Arul sekali lagi menegaskan Low Taek Jho atau Jho Low, tiada kaitan dan tidak pernah bekerja dengan syarikat itu namun pembangkang sering memainkan isu berkenaan bagi membangkitkan kemarahan rakyat kepada kerajaan.
 
Jelasnya, Jho Low diketahui memang mempunyai hubungan yang baik dengan pihak di negara Arab.
 
"Itu kelebihannya. Dia kenal orang di sana. Jho Low tidak pernah menjadi pekerja 1MDB dan syarikat tidak pernah membayar sesen dana pun kepada beliau," katanya.
 
 

Tiada ulasan: