HALAMAN SANTAI

Khamis, 26 April 2018

Pakatan Harapan Lumut pujuk tentera, tumpu pengundi Melayu





Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Lumut memberi tumpuan kepada anggota tentera dan pengundi Melayu yang merupakan segmen pemilih kritikal pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) ini.

Calon PH Lumut, Dr Hatta Ramli berkata, persempadanan semula kawasan pilihan raya menyebabkan demografi pengundi di P074 itu bertukar daripada sebuah kerusi campuran kepada kawasan majoriti Melayu.

Menurut Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional berkenaan, peningkatan pengundi Melayu mencecah 71 peratus ekoran tindakan SPR mengeluarkan Dun Sitiawan mengundang cabaran kepada PH untuk mempertahankan kerusi itu.

“Parlimen Lumut dulu (PRU-13) dengan sekarang sudah lain. Persempadanan semula menyebabkan Lumut mengecil.

“Jadi struktur geopolitiknya sudah berbeza. Lumut sudah mempunyai 71 peratus pengundi Melayu dengan hanya dua Dun iaitu Pasir Panjang dan Pangkor,” ujarnya ketika dihubungi hari ini.

Penyandang Parlimen Kuala Krai itu berkata, Umno pada PRU kali ini mengambil alih kerusi Parlimen Lumut daripada komponen BN, MCA yang merupakan kerusi tradisi parti Cina tersebut.

“BN di Lumut kali ini tidak lagi diwakili MCA. Sekarang, Umno ambil alih. Jadi persaingan dengan PH itu sudah berbeza berbanding dulu,” katanya.

Pada masa sama, jelasnya, kuasa undi di Lumut dimiliki oleh pengundi awal dalam kalangan angkatan tentera yang berjumlah 14,000 daripada 68,000 pemilih keseluruhan di kerusi itu.

“Cabaran di Lumut agak besar bagi kita apabila perlu menarik undi golongan tentera yang menjadi pengundi awal selain pengundi Melayu.

“Oleh sebab itu, gerak kerja kita sekarang adalah cuba untuk memenangi hati kedua-dua kelompok undi tersebut manakala pengundi Cina kita pastikan supaya terus kekal malah bertambah lagi untuk mengundi PH,” ujarnya.

Orang ramai terutama di sekitar Lumut dijemput hadir program bersama Pakatan Harapan petang ini.

Dr Hatta berpendapat PH Lumut juga mempunyai kekuatan tersendiri apabila calon di Parlimen dan Dun Pasir Panjang terdiri daripada anak tempatan manakala di Dun Pangkor merupakan bekas pegawai tentera laut.

“Cabaran kita di PH juga untuk pastikan peratusan pengundi kali pertama atau pengundi muda untuk keluar mengundi adalah tinggi,” tambahnya lagi.

Lumut salah satu daripada empat kerusi Parlimen di Perak yang AMANAH tandingi selain 12 kerusi Dun pada PRU-14.

Dr Hatta akan berentap dengan Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir bahkan BN turut menyenaraikan Menteri Besar Perak itu kekal bertahan di Dun Pangkor.

Sementara itu, PH meletakkan seorang guru, Yahaya Mat Nor yang merupakan Timbalan Ketua AMANAH Lumut di Dun Pasir Panjang (N51).

Bersatu pula mempertaruhkan Komander (B) Nordin Ahmad di Dun Pangkor (N52) yang disandang Dr Zambry.

PH Lumut juga bakal diasak Pas apabila bertanding di ketiga-tiga kerusi iaitu Zamri Ibrahim (Lumut), Rohawati Abidin (N51) dan Zainal Abidin Saad di N52.

Pada PRU-13, bekas laksamana tentera laut, Mohamad Imran Abdul Hamid memenangi Parlimen Lumut dengan mendapat 8,168 undi lebih banyak berbanding penyandang tinggal penggal ketika itu, Kong Cho Ha yang juga Setiausaha Agung MCA.

Semua calon PH bakal menggunakan logo PKR pada PRU-14 selaras dengan keputusan bersama gabungan AMANAH, PKR, Bersatu dan DAP itu pada 6 April lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, program Santai Tun Mahathir Bersama Veteran ATM dan Rakyat akan berlangsung di Restoran Azmi Tomyam, Teluk Muroh pukul 5 petang hari ini.

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dan Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut hadir selain ketiga-tiga calon PH Lumut.

Orang ramai dijemput hadir dalam program anjuran PH Lumut yang dijadualkan sehingga pukul 7 malam itu.

Tiada ulasan: