KUANTAN: Angka 14 cukup bermakna bagi Menteri Besar Pahang, Datuk Seri
Adnan Yaakob apabila mengumumkan pilihan raya umum ke-14 (PRU14) sebagai
pilihan raya terakhir bagi pemimpin berusia 68 tahun itu.
Angka 14 cukup istimewa apabila beliau menggantikan Tan Sri Mohd Khalil
Yaakob sebagai menteri besar Pahang ke-14 pada 25 Mei 1999.
Selepas mengharungi 7 pilihan raya sebelum ini, Adnan akan melengkapkan
perjalanan karier politiknya dengan mempertahankan kerusi Dewan
Undangan Negeri (DUN) Pelangai yang menjadi kubu kuatnya sejak 1986.
“Saya memang sudah lama menjadi menteri besar, menjadi adun dan pernah
menyatakan hasrat untuk berundur…tapi tidak dapat (berundur) atas
sebab-sebab tertentu yang tak dapat saya nyatakan.
“Tetapi kali ini, saya percaya ini adalah penggal terakhir saya
bertanding. Saya akan berundur apabila tiba masanya,” katanya selepas
Majlis Pengumuman dan Penyerahan Watikah Kepada Calon Barisan Nasional
(BN) Pahang bagi PRU14 di Kompleks Yayasan Pahang, semalam.
Mengulas pemilihan calon BN kali ini membabitkan 32 penyandang dan 16
muka baharu, Adnan berkata kemenangan kali ini bergantung kepada
kolaborasi dan kemampuan mereka mendapatkan sokongan.
“Saya percaya asas segala-galanya adalah calon itu sendiri kerana bila
dia dapat buat prestasi yang baik, insya Allah dia akan dapat menyumbang
kepada kemenangan Parlimen dan DUN.
“Ada tempat pula anggota Parlimennya cukup popular di kawasannya
sehingga dapat membawa calon adun untuk naik sekali bersamanya,”
katanya.
Pada perkembangan lain, Adnan turut mengingatkan mereka yang terpilih
sebagai calon “tidak terlampau gembira” kerana mereka harus sedar
perkara itu datang bersama tanggungjawab berat.
Beliau berkata, majlis pengumuman itu juga bukan satu majlis bersuka
ria kerana ada 3 nama yang terpaksa digugurkan, walaupun menunjukkan
prestasi baik.
Adnan berkata, mereka yang digugurkan adalah penyandang DUN Pulau
Tawar, Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail, Datuk Maznah Mazlan (DUN Muadzam
Shah) dan Datuk Lau Lee (DUN Damak) yang semuanya disifatkan rakan
karibnya dalam bidang politik.
Untuk PRU14, Shukri akan digantikan Nazri Ngah, tempat Maznah pula
diisi Razali Kassim, manakala kedudukan Lee diberikan kepada Datuk
Natalie Lim Chong Ly.
Beliau juga sebak semasa memuji mereka berjiwa besar kerana menunjukkan
keterbukaan dan tidak sedikit pun berdendam apabila menerima berita
nama mereka tidak tersenarai sebagai calon.
“Malah, mereka turut datang untuk bersama kita sebagai tanda sokongan.
Saya berharap calon baharu di Damak, Pulau Tawar dan Muadzam Shah tidak
akan mengetepikan mereka.
“Saya sedih dan sayu dengan pengorbanan dan sikap mereka semua. Kami
tidak akan lupa anda bertiga dan tetap akan merindui kamu semua…ingatkan
kita yang berada di atas untuk bersiap kerana kita, saya juga akan
pergi bila tiba masanya.”
Adnan juga berharap pengganti tidak tergugat atau mempunyai perasaan
akan disabotaj kerana 3 individu itu sudah memberi jaminan untuk
membantu kemenangan BN pada PRU14.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan