KEADILAN DAILY
Wanita Pakatan Harapan berkata calon-calonnya dalam pilihan raya umum ke 14 meningkat kepada 22 peratus daripada 16 peratus pada PRU13.
Ketua Wanita Harapan, Zuraida Kamaruddin berkata peningkatan itu amat baik untuk sebuah parti muda berbanding BN yang ditubuhkan hampir 60 tahun lalu.
“Perjuangan wanita Harapan adalah bersifat berterusan dan kita telah berjaya meruntuhkan tembok patriarki dan stereotaip jantina yang telah lama dibina oleh BN selama ini.
“Banyak yang berjaya dikecapi wanita di bawah dua negeri pentadbiran Harapan iaitu Selangor dan Pulau Pinang apabila martabat mereka diangkat dalam pelbagai bidang antaranya menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri, selain dilantik sebagai pengurus besar salah sebuah syarikat berkaitan negeri milik kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan.
Zuraida berkata, jika Pakatan Harapan menang PRU14, timbalan perdana menteri Malaysia adalah seorang wanita – merujuk kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
“Untuk kepentingan wanita Malaysia, memilih Pakatan Harapan adalah satu tindakan yang paling wajar.
“Perjuangan untuk meletakkan 30 peratus calon wanita dalam PRU14 kali ini bukanlah satu perkara yang mudah.
“Dalam memilih calon, pelbagai perkara perlu diambil kira dan sudah semestinya kebolehupayaan dan kesediaan untuk memberi khidmat kepada rakyat adalah menjadi syarat utama,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan