ARAU: Tindakan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming dan bekas Ketua DAP
Bahagian Teluk Intan, Hee Kuan Yau yang menggunakan kata-kata kesat dan
merendah-rendahkan orang Melayu serta Islam dalam ceramah mereka
disifatkan sebagai keterlaluan dan biadab.
Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin berkata, tindakan pemimpin DAP itu
sememangnya sudah dijangka kerana mereka sentiasa menanti peluang untuk
menyerang.
Sehubungan itu, Hashim menyeru supaya umat Islam di negara ini segera
berhenti daripada bertelagah atau menentang sesama mereka sehingga
akhirnya menampakkan kelemahan sendiri, memetik Utusan Online hari ini.
“Pertama saya lihat keberanian dan keceluparan pemimpin DAP merendah-rendahkan orang Melayu memang tidak bolehlah.
“Tetapi, kita juga perlu ingat kenapa orang (DAP) berani memburukkan
kita. Bagi saya disebabkan kesalahan antara kita juga yang tidak
menyokong sesuatu perkara melibatkan kebaikan Islam.
“Sebagai contoh, kita ajak orang Islam sendiri kepada Islam seperti
RUU355 (Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)
(Pindaan) 2016) tetapi terdapat dalam kalangan kita (orang Islam) tidak
setuju.
“Apabila orang Islam menentang Islam dan mereka (DAP) lihat secara
tidak langsungnya dia semakin berani untuk menyerang,” katanya ketika
ditemui di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai sikap biadab Kor Ming
dan Kuan Yau dalam ceramah mereka yang sering dicemari kata-kata kesat
dan menghina kaum lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan