HALAMAN SANTAI

Sabtu, 28 April 2018

‘Saya mungkin berdepan kemalangan serius pula’

MALAYSIAKINI

    Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui bahawa beliau tidak lagi dapat menjangkakan apa yang akan dilakukan oleh musuh politiknya demi untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei ini.

Malah, bekas perdana menteri yang berusia 93 tahun itu, tidak menolak kemungkinan berhadapan dengan kemalangan serius.

“Kita tidak tahu apa lagi helah dia ada dalam fikirannya, tetapi dia memang macam tu.

“Cuba menghalang saya untuk datang sini. Dan dalam proses itu, saya mungkin berdepan dengan kemalangan yang serius,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri sebuah kenduri perkahwinan, di Langkawi, hari ini.

Semalam, Dr Mahathir mendakwa pesawat peribadi yang disewa khas telah disabotaj oleh pihak tertentu apabila dimaklumkan oleh juruterbang bahawa sistem pesawat itu tidak berfungsi.




Menurut Dr Mahathir, juruterbang memaklumkan kepadanya kerosakan tersebut tidak dapat dibaiki dalam masa yang singkat menyebabkan beliau mengambil keputusan untuk meminjam pesawat lain daripada rakannya bagi meneruskan perjalanan ke Langkawi.

Dr Mahathir hari ini hadir di Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi untuk mengemukakan pencalonannya bagi bertanding di kerusi Parlimen Langkawi.

Beliau akan mencabar penyandang kerusi parlimen tersebut, Datuk Nawawi Ahmad. Turut bertanding adalah wakil PAS, Zubir Ahmad.

Susulan dakwaan itu, Menteri Pengangkutan Sementara Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kerajaan mengarahkan Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) untuk menjalankan siasatan serta merta.

Tiada ulasan: