Oleh Umi Faten Nadia Ezhar
SHAH ALAM: Kesilapan kecil dilakukan oleh calon pembangkang yang
menyebabkan pencalonan mereka ditolak pada hari penamaan calon hari ini
menjejaskan imej untuk mengurus tadbir negara, demikian pendapat seorang
penganalisis.
Penganalisis politik dari UUM, Profesor Datuk Seri Dr. Mohamed Mustafa
bin Ishak berpendapat kesilapan yang kecil ini seolah-oleh menunjukkan
Pakatan Harapan (PH) belum bersedia untuk mentadbir negara.
Hari Penamaan Calon hari ini menyaksikan beberapa calon parti
pembangkang ditolak permohonan untuk bertanding apabila tidak membawa
kad pengenalan, borang permohonan, tidak menyemak saman, tidak berjaya
menukar alamat sebelum pilihan raya dan tiada pas masuk pusat penamaan
calon ketika hendak menyerah borang.
"Bagaimana esok mereka hendak mentadbir kalau perkara-perkara yang sebegini kecil pun mereka tidak dapat uruskan dengan baik?
"Jadi ini merupakan satu perkara yang memberikan imej yang tidak baik kepada Pakatan.
Beliau juga menyifatkan kesilapan yang dilakukan ini seharusnya dapat
dielakkan daripada terjadi jika calon-calon membuat persiapan rapi
terutamanya calon-calon baru pembangkang.
Hal ini demikian kerana sikap ambil mudah dan isu teknikal yang mudah
ini tidak harus terlepas pandang terutamanya calon yang baru bertanding
dan tidak mempunyai pengalaman semasa penyerahan borang penamaan calon.
"Jadi sebab itulah perkara seperti ini harus dan sepatutnya boleh
dielakkan jika membuat persiapan rapi terutamanya calon-calon baru
daripada Pakatan tidak mengambil berat soal-soal ini.
"Dalam sesuatu pilihan raya, kita kena pastikan bahawa kita mendapat
satu rundingan dan nasihat teknikal yang terbaik supaya tidak berlaku
kesilapan-kesilapan nyata iaitu kesilapan yang boleh membawa kepada
percalonan ditolak.
Beliau juga menasihati calon-calon mahupun penyokong kepada mereka yang
ditolak percalonan supaya tidak menyalahkan mana-mana entiti yang
berkaitan tetapi menyalahkan diri mereka sendiri yang cuai dengan
kesilapan sendiri.
"Jangan salahkan orang lain, soal teknikal ini tidak ada sesiapa pun
yang boleh disalahkan. Dia tidak boleh salahkan pihak lain melainkan
pihak mereka sendiri.
Beberapa orang calon yang ingin menghantar borang penamaan calon
ditahan daripada memasuki kawasan penyerahan borang apabila gagal
mengemukan kad pengenalan dan tidak memakai kad kebenaran semasa
penghantaran borang penamaan calon dekat sini.
Seramai 14,940,624 pemilih layak mengundi pada PRU14 pada 9 Mei depan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan