LANGKAWI: Tun Dr Mahathir Mohamed hari ini menolak hasil penemuan Pihak
Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAMM) yang mengenepikan sebarang
unsur sabotaj pada pesawat yang sepatutnya digunakan beliau untuk
penerbangan ke Langkawi kelmarin.
Calon PKR bagi kerusi Parlimen Langkawi untuk Pilihan Raya Umum Ke-14
(PRU-14) itu berkata, beliau tidak dapat menerima kenyataan dibuat CAMM
itu, kerana mendakwa ia dibuat tanpa melalui melalui siasatan yang
terperinci ke atas pesawat.
"Mereka kata ia bukan sabotaj...bagaimana mereka buat kesimpulan
sebegitu sedangkan mereka tak buat apa-apa siasatan," katanya kepada
pemberita selepas menemui pengundi di pasar awam Kuah, di sini, hari
ini.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Pengerusi CAMM, Datuk Seri
Azharuddin A Rahman, mengenai siasatan terhadap dakwaan sabotaj ke atas
jet peribadi yang sepatutnya digunakan beliau untuk penerbangan dari
Subang ke sini kelmarin.
Semalam, Azharuddin berkata, pesawat jenis Bombardier Challenger CL60
yang dikendalikan oleh Vista Jet Limited tidak dapat diterbangkan ekoran
masalah teknikal yang kecil dan rutin iaitu kebocoran udara di roda
kiri pada muncung pesawat.
"Hari ini kami telah melakukan pemeriksaan menyeluruh, termasuk
pengesahan dokumentasi, pemeriksaan fizikal terhadap pesawat, dan
menemubual juruterbang serta petugas penyelenggaraan pesawat
persendirian itu," katanya dalam satu kenyataan.
Pemeriksaan terhadap dokumentasi pesawat itu tidak menunjukkan sebarang
kecacatan kecuali kebocoran udara di roda kiri yang dicatatkan oleh
petugas penyelenggaraan pada 27 April.
Kerusi Parlimen Langkawi menyaksikan saingan tiga penjuru apabila
penyandang, Datuk Ir Nawawi Ahmad, dari BN dicabar Dr Mahathir yang
menggunakan logo PKR dan calon PAS, Zubir Ahmad.
Pada PRU-13, Nawawi menang dengan majoriti 11,861 undi menewaskan calon PKR, Ahmad Abdullah dan calon Bebas, Marina Hussein.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan