KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengedarkan gambar
sebenar salah seorang suspek yang menembak mati pensyarah Universiti
Kuala Lumpur British Malaysia Institut (UniKL BMI), Dr Fadi M R AlBatsh
Fatma dalam kejadian subuh, Sabtu lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dalam sidang media di
Bukit Aman hari ini berkata, gambar sebenar itu berjaya diperoleh ekoran
penemuan motosikal digunakan dua suspek berkenaan yang ditinggalkan
berhampiran Tasik Danau Kota, semalam.
"Menerusi penemuan motosikal digunakan suspek yang ditinggalkan sejak
Sabtu lalu di Tasik Danau Kota, iaitu selepas mereka menembak mati Fadi,
PDRM berjaya mendapatkan gambar sebenar salah seorang suspek.
"Kita percaya, kedua-dua suspek masih berada di negara ini dan kita
berharap agar orang ramai yang melihat serta mempunyai maklumat mengenai
mereka dapat menyalurkannya kepada polis," katanya.
Mohamad Fuzi berkata, menerusi maklumat diterima, dua suspek berkenaan
dipercayai masuk ke negara ini sejak penghujung Januari lalu menggunakan
identiti palsu.
Malah, ketika ditanya sama ada suspek adalah ejen perisikan Mossad,
beliau berkata polis tidak mempunyai maklumat mengenainya namun tidak
menolak kemungkinan mereka terlatih dalam bidang ketenteraan.
"Berdasarkan maklumat yang diperoleh, dua suspek terbabit dipercayai masuk ke negara ini menggunakan identiti palsu.
"Malah, kita tidak menolak kemungkinan mereka mempunyai kemahiran dalam ketenteraan," katanya.
Menurut Mohamad Fuzi, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai dua
suspek berkenaan boleh menghubungi pegawai penyiasat Asisten
Superintendan Shahrizal Salleh di talian 017-7134705 atau menghubungi
mana-mana balai polis terdekat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan