KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah badan yang dilantik di bawah Perlembagaan Persekutuan dan mempunyai bidang kuasa yang telah dinyatakan di bawah Bahagian VIII (Pilihan Raya) Perlembagaan Persekutuan.
Manakala Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) juga ditubuhkan dengan bidang kuasanya yang tersendiri di bawah Bahagian II (Hak Asasi) Perlembagaan Persekutuan.
Dalam hal ini, perlaksanaan Proses Pilihan Raya adalah dilaksanakan oleh SPR yang dianggotai oleh ahli-ahli yang dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Tan Sri Mohd Hashim Abdullah.
SPR juga maklum bahawa anggota-anggota Suhakam juga adalah dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong dan dalam memberikan pengiktirafan kepada badan tersebut yang mempunyai bidang kuasa berkaitan hak asasi, pengiktirafan yang sama juga perlu diberikan Suhakam kepada SPR.
Memandangkan hak untuk mengundi adalah hak yang diberikan di bawah statut, maka semua peraturan perlulah dipatuhi oleh semua pengundi dan tidak timbul bahawa hak asasi sewajarnya mengatasi hak statut.
Dalam masa yang sama adalah tidak wajar pihak yang dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong yang mempunyai bidangkuasa khusus yang telah dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan dan akta juga memantau pihak lain yang juga dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong yang mempunyai bidang kuasa khusus di bawah Perlembagaan Persekutuan dan akta.
Dalam hal ini, SPR sentiasa berpegang kepada kepentingan hak asasi semua warga negara selaras dengan peruntukkan undang-undang dan tidak pernah menyekat mana-mana warga negara untuk menggunakan hak mereka yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan dan Akta berkaitan dengan pilihan raya bagi menyertai proses demokrasi Negara.
SPR berpandangan penglibatan Suhakam untuk berperanan sebagai pemantau pilihan raya adalah tidak berkeperluan kerana SPR telah menjemput pemerhati luar negara dan juga melantik beberapa pihak bebas yang berkecuali serta tidak berkepentingan untuk memerhati dan memantau proses PRU-14.
Malah dalam masa yang sama juga peruntukkan undang-undang telah menetapkan hak kepada semua calon dan parti yang bertanding untuk melantik ejen-ejen mereka sebagai pemantau dalam setiap proses PRU-14.
Pada PRU-14 ini dianggarkan jumlah ejen-ejen calon dan parti yang akan terlibat adalah melebihi 200,000 orang.
Sebagai sebuah badan pengurusan pilihan raya yang berintegriti bebas dan adil yang diamanah oleh Yang Di-Pertuan Agong, SPR akan memastikan setiap proses PRU-14 yang akan dikendalikan sendiri oleh lebih 250,000 orang awam akan berjalan dengan telus dan adil tanpa tekanan serta campur tangan mana-mana pihak. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan