SIBU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Joseph Entulu
Belaun, yang juga bekas Timbalan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS)
menafikan menyertai PKR selepas dipecat Ahad lalu.
Ia berikutan penyebaran gambarnya bersama Pengerusi PKR Sarawak, Baru
Bian, sambil menyerahkan dokumen seolah-olah borang keahlian parti itu
yang viral di laman sosial sejak 24 jam lalu.
Penafian Entulu dimaklumkan oleh setiausaha akhbarnya, Babiana Mathew
Mike dalam satu kenyataan menerusi Facebook hari ini. Babiana turut
menjelaskan gambar berkenaan dirakam tahun lalu apabila menteri
berkenaan dijemput menjadi ahli panel Forum Pemansang Agenda Dayak di
sebuah hotel di Miri.
Kehadiran Entulu adalah atas kapasitinya sebagai seorang pemimpin Dayak
yang berpengalaman, khususnya bagi menyampaikan ucaptama pada forum
berkenaan.
"Ia dianjurkan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan
hak dan kepentingan masyarakat Dayak di Sarawak, termasuk Persatuan
Pemansang Dayak yang juga penganjur utama forum berkenaan.
"Pengerusi Persatuan Pemansang Dayak, Baba Emperan turut ada dalam
gambar berkenaan, begitu juga Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian yang
hadir sebagai ahli panel," katanya kepada pemberita.
Babiana memuat naik penjelasan itu melalui Facebook dengan akaun menggunakan nama 'Abby Matthew Mike'.
Katanya, forum berkenaan sebahagian daripada platform kepada NGO Dayak
untuk berkongsi maklumat dan saling bertukar pandangan mengenai polisi
kerajaan serta keberkesanannya dalam meningkatkan taraf komuniti itu.
"Ia juga bagi membincangkan masalah yang dihadapi oleh komuniti Dayak
pada era globalisasi. Ramai wakil rakyat Dayak turut dijemput, namun
hanya beliau (Entulu) yang berani tampil ke hadapan," katanya.
Parlimen Selangau dikatakan antara 'kerusi panas' di negeri ini dalam
Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), 9 Mei ini, susulan pemecatan Entulu
yang juga penyandang kerusi berkenaan, selepas didakwa melanggar
perlembagaan parti.
Entulu digantikan calon muka baru, Rita Sarimah Patrick Insol, seorang pakar perundangan.
Lebih hangat lagi apabila Baru semalam turut mengumumkan akan bertanding di kerusi itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan