HALAMAN SANTAI

Rabu, 25 April 2018

PRM dakwa calon PKR tipu tender lombong pasir

Bernama

   

PRU14 | Parti Rakyat Malaysia (PRM) hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa seorang daripada calon PKR untuk kerusi Dewan Undangan Negeri di Selangor terbabit penipuan tender pengurusan pasir.

Jurucakap PRM Khalid Ismath berkata pihaknya menerima aduan daripada mangsa berhubung penipuan yang dilakukan oleh individu tersebut yang didakwa dijalankan menerusi sebuah syarikat sejak setahun lalu.

Individu ini menubuhkan syarikat yang diberi nama hampir sama dengan nama sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Selangor yang terbabit dalam pengurusan pasir bagi menipu pemaju dan kontraktor yang memohon tender berkaitan pengurusan pasir di negeri itu, kata Khalid kepada pemberita selepas membuat laporan tersebut di pejabat SPRM Selangor, di Shah Alam.

Menurutnya mangsa yang membuat bayaran ratusan ribu ringgit kepada syarikat tersebut hanya mengetahui mereka ditipu selepas membuat semakan status permohonan mereka dengan GLC sebenar.

Dakwa laporan polis tiada tindakan

"Syarikat GLC terbabit juga melalui satu surat rasmi pada tahun lalu menafikan penglibatan mereka dalam pemberian tender terbabit, selain menegaskan tidak mempunyai kaitan dengan syarikat itu,” katanya.

Beliau juga mendakwa mangsa membuat laporan polis namun sehingga kini tiada tindakan diambil menyebabkan mereka meminta bantuan PRM.

"Sebab itu hari ini kita hadir ke SPRM untuk minta suruhanjaya melakukan siasatan terhadap semua dakwaan yang membabitkan calon pilihan raya umum ini,” katanya yang berharap siasatan segera dijalankan bagi mengelakkan rakyat ditipu.-Bernama


Tiada ulasan: