Isu calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Batu Pahat semakin hangat apabila Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi hari ini tampil menyanggah kenyataan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung kredibiliti metodologi pemilihan calon di kerusi itu.
Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) itu turut melahirkan kekecewaan dengan kenyataan Timbalan Pengerusi BN itu bahawa keadaan di Batu Pahat semakin parah dari segi kerosakan dan hakisan sokongan terhadap parti itu.
Jelas Mohd Puad, kenyataan itu sekali gus menidakkan kejayaan UMNO Batu Pahat menambah keahlian baharu dan antara bahagian yang tertinggi menambah jumlah pemilih baharu di Johor.
“Justeru saya mempertikaikan kredibiliti metodologi penilaian yang beliau gunakan. Sedangkan khidmat wakil rakyat PKR yang teruk menjadikan BN semakin popular.
“Menurut Zahid lagi, sebab itu parti perlu meletakkan calon lain untuk pastikan kemenangan. Saya ingin bertanya kepada Timbalan Perdana Menteri, apakah dengan meletakkan seorang calon kontroversi yang dikaitkan dengan isu moral peribadi boleh menjamin kemenangan? Dan apakah dengan meletakkan seorang lagi calon yang selama lima tahun tidak membantu UMNO bahagian dalam menjaga parti, memulaukan Persidangan Perwakilan Tahunan Bahagian selama lima tahun berturut turut dan lain-lain adalah wajar?,” soal Puad dalam satu kenyataan.
Sebelum ini BN Johor menggugurkan nama Mohd Puad sebagai calon Parlimen Batu Pahat dan Ahmad Zahid turut menyifatkan pemilihan Ketua Wanita Bahagian itu, Hasliza Abdullah bertanding di situ sebagai keputusan tepat.
Mohd Puad juga dalam satu tulisan yang tersebar tidak menolak kemungkinan akan bertanding calon Bebas sekiranya diketepikan parti.
Sementara itu Mohd Puad berkata, ia bukan soal merajuk, sebaliknya mempertikaikan kaedah pemilihan calon selain turut mengingatkan agar tidak dibayangi dengan pemilihan parti yang akan berlangsung selepas PRU nanti.
“Ini bukan soal merajuk. Ini soal kenapa dibiarkan satu kaedah yang boleh menjadi precedent buruk di masa hadapan digunakan?
“Jangan jadikan pemilihan calon pilihanraya sebagai agenda persiapan untuk menghadapi pemilihan parti. Buruk padahnya,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan