HALAMAN SANTAI

Selasa, 1 Mei 2018

Akauntan anggap rezeki dapat lawan Azmin

Zulaikha Zulkifli


   
CALONKINI | Daripada seorang akauntan, kini Salwa Yunus menggalas tugas yang besar iaitu menjadi calon BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa.

Pada pilihan raya umum ke-14 kali ini, Salwa bukan sahaja berdepan dengan Datuk Seri Azmin Ali- sebuah nama yang tidak asing di DUN berkenaan- tetapi beliau menghadapi pertandingan lima penjuru.

Selain BN dan PKR, DUN Bukit Antarabangsa berdepan dengan calon PAS Sharifah Haslizah Syed Ariffin, Ahmad Kamarudin (PRM) dan seorang selebriti kontroversi yang juga adik kepada Azmin, Azwan Ali yang bertanding sebagai calon bebas.

Bagi seorang yang pertama kali menjadi calon, tugas Salwa tidak mudah.



Namun, bagi ibu kepada dua orang cahaya mata ini, beliau menganggap segala perkara telah ditentukan Allah dan akan terus berjuang.

"Bagi saya apa jua cabaran yang datang, kita akan laksanakan. Bila Allah kata kat situ, maka dekat situlah.

"Saya jenis yang apa sahaja tugasan diberi, insha-Allah saya akan laksanakan. Kalau dari awal saya tak mampu, saya akan tarik handbreak tapi yang ini (menjadi calon) tidak," katanya ketika diwawancara Malaysiakini.

Meskipun akan berdepan dengan empat lagi calon lain di DUN berkenaan namun bagi Salwa perkara itu tidak menggerunkannya.

Biar pengundi nilai

Disebalik perwatakannya yang lemah lembut, Salwa turut bertegas bahawa beliau merupakan seorang pejuang dan bersedia untuk berkhidmat kepada rakyat.

"Kita dah dididik menjadi pejuang, tak kisah siapa lawan saya. Saya anggap mereka manusia, saya juga manusia. Itu semua di tangan tuhan, saya tak kata saya lebih baik dari dia, tapi biar pengundi menilai sendiri.

"Biar mereka pilih. Kalau rakyat dah pilih saya, kita akan berkhidmat," katanya lagi.

Pada PRU-14, DUN Bukit Antarabangsa mempunyai sebanyak 46,537 pengundi berbanding pada 2013 iaitu 34,467.

Tiada ulasan: