BUKIT MERTAJAM: Polis menahan dua lelaki dan merampas ganja dalam
serbuan di hadapan bilik gerakan sebuah parti politik di Permatang
Pasir, dekat sini malam tadi.
Dalam serbuan jam 7.30 malam itu, dua lelaki masing-masing berusia 25
dan 58 tahun juga didapati positif dadah jenis Tetrahydrocannabinol
(THC).
Sumber berkata sepasukan polis yang melakukan rondaan pada mulanya
melihat dua lelaki terbabit bersama enam lagi lelaki berada dalam
keadaan mencurigakan di hadapan bilik gerakan itu.
"Hasil pemeriksaan polis menemui 3.4 gram ganja dalam beg hitam yang
dipegang suspek berusia 58 tahun yang juga bekerja sebagai pemandu lori.
"Siasatan lanjut turut menemui 4.15 gram kanabis dalam poket seluar suspek berusia 25 tahun itu," katanya dipetik BH Online.
Sumber berkata, kedua-dua suspek itu ditahan bagi membantu siasatan
mengikut Seksyen 6 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten
Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid mengesahkan kejadian dan penahanan
dua suspek terbabit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan