KUALA TERENGGANU: Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar melahirkan hasrat mahu jadikan Terengganu sebagai negeri contoh.
Justeru, beliau mengajak seluruh rakyat
tanpa mengira latar belakangnya agar menjalinkan hubungan silaturrahim
kembali selepas, berakhirnya Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
"Hadis Nabi (Muhammad) S.A.W ada
menyebut kepada kita, barang siapa yang ingin diluaskan pintu rezekinya
dan dipanjangkan umurnya maka hendaklah dia menyambung tali
silaturrahim.
"Tanggungjawab kita (politik) setelah
berakhirnya PRU yang mungkin ada menyebabkan sedikit sebanyak kecederaan
di dalam masyarakat.
"Maka tempoh sekarang ini hendaklah kita
merapatkan tali silaturrahim sesama kita dalam masyarakat, jiran
tetangga kampung halaman kita, rakan sekerja kita.
"Mungkin sebelum ini sepanjang tempoh
berbulan-bulan yang lepas ada perkara timbul dalam perbincangan
masing-masing, yang menyebabkan suasana yang tidak aman terguris hati di
antara satu sama lain," ujarnya.
Beliau berucap menyampaikan tazkirah
Ramadan di Masjid Pengadang Baru, Kuala Terengganu dan berbuka puasa
bersama rakyat, kelmarin.
Hadir sama pada majlis itu, Setiausaha
Politik (Setpol) kepada Menteri Besar Terengganu, Muhyidin Abdul Rashid,
Ahli Exco Kerajaan Negeri Terengganu, Ariffin Deraman dan Timbalan
Pesuruhjaya PAS III Terengganu, Yahaya Ali.
Dr Ahmad Samsuri turut mengingatkan
rakyat negeri ini bahawa, tugas mengisi dan melaksanakan agenda di
negeri Terengganu ini bukan terletak dibahu Menteri Besar, Ahli Exco dan
wakil rakyat sahaja.
"Tetapi itu tugas semua di antara kita
(rakyat) yang terlibat dengan Jawatankuasa Masjid, masyarakat kampung di
tempat kerja tugas dan semua kita.
"Kita semua adalah rakyat negeri
Terengganu yang akan dilihat oleh rakan-rakan kita di negeri-negeri
lain, yang memerlukan kita beri contoh yang terbaik dari segi aspek
kebersihan, aspek pertuturan dan sebagainya.
"Supaya rakyat dan penduduk
negeri-negeri lain yang melihat kita (Terengganu) tidak melihat negeri
Terengganu sahaja tetapi melihat keperibadian dan akhlak yang dipunyai
oleh rakyat negeri ini, berada ditahap terbaik sehingga menjadi contoh
kepada orang lain," jelasnya dalam ucapan 15 minit itu.
Harakah dimaklumkan, Masjid
Pengadang Baru merupakan masjid pertama dalam siri lawatan Dr Ahmad
Samsuri selaku Menteri Besar Terengganu yang baharu selepas pasca
PRU14. -HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan