HALAMAN SANTAI

Jumaat, 4 Mei 2018

Jangan Bermuka-Muka Soal Integriti

Fuad Shahdan


integriti


Pembangkang hanya memikirkan tentang diri sendiri semata-mata. Segala percaturan kuasa dan politik yang dibuat hanya untuk manfaat sendiri. Malah rakyat dijadikan bidak catur dalam usaha mereka merebut kuasa. Apa sahaja sanggup dilakukan untuk menimbulkan keresahan dan kekeliruan kepada rakyat. Segala macam taktik politik seperti ini sebenarnya sudah sebati lama dengan pembangkang. Malah sudah tentu kita ingat bagaimana kira-kira empat tahun lalu, pembangkang melancarkan apa yang dipanggil sebagai Langkah Kajang.

Tindakan politik yang berpunca daripada masalah dalaman parti PKR telah turut mengheret sama rakyat di kawasan Kajang. Ini jelas melihatkan bagaimana pembangkang sanggup melakukan apa sahaja untuk memastikan mereka terus berkuasa. Budaya politik yang diamalkan pembangkang ini amat menakutkan, malah tidak memberikan manfaat apa-apa kepada rakyat. Untuk pilihan raya umum kali ini, rakyat sewajarnya lebih teliti dan berhati-hati dalam mendengar sebarang ucapan dan kempen pembangkang.

Semuanya nampak manis dan suci bagi pihak mereka, namun hakikatnya ada ranjau berduri yang menanti rakyat jika pembangkang diberikan kuasa untuk mentadbir negara. Kita menjadi saksi bagaimana bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dipecat dari PKR kerana masalah dalaman yang dialami parti itu. Namun pendedahan Khalid baru-baru ini tentang mengapa beliau dipecat begitu memeranjatkan. Jelas kepada kita pembangkang sebenarnya bermuka-muka dan berselindungi di sebalik topeng fitnah.

Menurut Khalid, beliau dipecat kerana mempertahankan integriti dan maruahnya sebagai seorang Menteri Besar. Beliau menyatakan sikap tegas beliau menolak desakan untuk pakatan pembangkang menggunakan dana Kerajaan dalam kempen politik serta program parti telah menyebabkan beliau disingkirkan. Apa yang disebutkan oleh Khalid ini merupakan satu hal yang sangat serius. Ini melibatkan soal ketelusan dan akauntabiliti yang sering dilaung-laungkan oleh pakatan pembangkang.

Hakikatnya penjelasan Khalid ini telah menunjukkan hakikat sebenar pembangkang, bagaimana mereka ialah pihak yang sebenarnya gagal menangani dan mengurus organisasi sendiri untuk menjunjung prinsip-prinsip integriti. Pemecatan Khalid membuktikan pembangkang sanggup melakukan apa sahaja untuk memastikan kuasa dan helah mereka sentiasa dapat disimpan. Kita tidak mahu negara ini ditadbir oleh kelompok pemimpin yang gemar berpura-pura dan meninggalkan jauh prinsip integriti.

Pengundi sewajarnya menjadi lebih bijak dalam menilai keadaan ini. Rakyat Selangor khususnya harus faham bahawa pemerintahan PKR di negeri berkenaan tidak memberikan kesan positif secara menyeluruh, malah pelbagai kes berkaitan integriti kini dibangkitkan berkaitan dengan pentadbiran di negeri berkenaan. Rakyat kini sudah semakin jelas dan pakatan PKR di Selangor bakal menerima hukuman pada 9 Mei nanti

Tiada ulasan: