HALAMAN SANTAI

Selasa, 22 Mei 2018

KHAIRY PATUT BERSUARA LEBIH AWAL – NAJIB

Wartawan Watan-Online

 


Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pemimpin Barisan Nasional (BN), termasuk Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin sepatutnya bersuara lebih awal, jika masing-masing merasakan ada masalah dalam kepemimpinan, ketika beliau mengetuai negara dan parti.

Bekas Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN itu, mendakwa selama ini beliau mengamalkan sikap terbuka dengan semua pihak bebas bersuara dalam memberi ulasan dan pandangan, meskipun ia mungkin berbeza dengannya.

“Saya agak terbuka mengenai perkara ini, cuma saya mahu ia dilakukan secara tertutup, kerana kita tidak sepatutnya menyerang sesama sendiri sebagai anggota dalam kerajaan,” katanya.

Najib yang mempertahankan kedudukannya sebagai Ahli Parlimen Pekan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), berkata malah sebagai ahli parti, mereka masih mempunyai kebebasan menyuarakan rasa tidak puas hati atau perbezaan pandangan terbabit mesti menggunakan kaedah atau saluran yang sewajarnya.

“Hakikatnya, Khairy boleh datang berjumpa saya dan memberitahu, kita tidak berada di landasan yang betul atau berdepan masalah yang tidak ditangani sewajarnya.

“Dari situ, saya boleh buat keputusan sama ada mahu menerima atau menolaknya. Namun itu tidak berlaku, beliau (Khairy) sendiri mengakui tidak berbuat demikian,” katanya dalam temubual eksklusif kepada portal malaymail.com semalam.

Najib menyuarakan pandangan itu ketika mengulas kekalahan memalukan UMNO dan BN di bawah kepemimpinannya, sedangkan parti itu tidak pernah kalah dalam PRU sepanjang mentadbir negara sejak merdeka.

Perdana Menteri keenam itu mendakwa, beliau tidak pernah memaksa ahli BN mengikut kehendaknya, sebaliknya menekankan keperluan mematuhi disiplin parti.

“Sekiranya anda menyerang kepemimpinan secara terbuka, itu bertentangan dengan disiplin parti, tetapi sekiranya awak datang bersemuka sambil memberitahu tidak bersetuju dengan saya, itu tidak salah. Saya rasa ia sepatutnya dilakukan sedemikian,” katanya.



Tiada ulasan: