Noraniza Kamsani, Astro Awani
Ahli
Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh (kiri) melihat penyambungan haram yang
dibuat sebuah kilang asing di MCKIP, Gebeng yang dikesan mencuri air
buat kali kedua dalam tempoh seminggu- foto Astro AWANI
KUANTAN: Sebuah kilang asing yang terletak di dalam Taman Industri Kuantan Malaysia China (MCKIP) di sini, dikesan mencuri air buat kali kedua selepas tidak sampai seminggu kerja pemotongan dan penyitaan dilakukan oleh Suruhanjaya Pengurusan Air Negara (SPAN).
Pengarah
Unit Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Pengguna, Bahagian Pengurusan
Korporat SPAN, Mohd Fazil Ismail berkata, hasil pemeriksaan kali kedua
hari ini, mendapati kilang yang sama sekali lagi membuat penyambungan
haram dipercayai dipasang petang semalam.
"Pada 16 Mei lalu kita sudah mengambil tindakan dengan memotong
penyambungan berkenaan yang dipercayai sudah dipasang sejak Januari
lalu. Kita juga dapati sebanyak 327,000 meter padu air telah dicuri
oleh kilang ini berdasarkan meter yang ada pada penyambungan haram itu.
"Jumlah kerugian air yang dicuri adalah sebanyak RM500,000, namun ia
sudah dibayar oleh kilang berkenaan pada 18 Mei lalu. Tetapi yang
menghairankan kami, kilang ini kembali membuat penyambungan haram tanpa
membuat sebarang pemohonan," katanya ketika ditemui selepas membuat
pemeriksaan mengejut di tapak kilang berkenaan di sini, hari ini.
Pemeriksaan berkenaan turut disertai oleh Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum, Sim Chon Siang dan Ketua Cawangan Wilayah Timur (Pejabat Cawangan Pahang) SPAN, Arni Shahrina Shaharum.
Mohd Fazil berkata,
pihaknya juga mendapati, paip yang digunakan juga tidak mengikut
spesifikasi apabila menggunakan paip saiz 300 millimeter (mm) berbanding
saiz yang dibenarkan iaitu 600 mm.
"Pihak
kami mengambil tindakan untuk membuang sambungan haram ini pada hari ini
juga. Penyambungan haram ini kita akan cabut sehingga ke valve supaya
kilang ini tidak lagi membuat penyambungan haram selepas ini.
"Walaupun kilang ini sudah membayar jumlah air yang dicuri, namun
tindakan mahkamah akan diteruskan mengikut peruntukkan undang-undang
sedia ada. Kita juga minta pihak kilang untuk membuat permohonan bagi
membuat penyambungan air sementara kepada pihak SPAN," katanya.
Sementara itu, Fuziah berkata, ketika warga Kuantan berhadapan dengan
krisis air, syarikat milik negara asing mencuri air dan ini perkara yang
tidak boleh diterima.
“Saya akan berbincang
dengan pihak SPAN untuk mengambil tindakan susulan kerana mereka ini
tak ambil peduli tentang undang-undang,” katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan