BAGAN DATUK: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri
Muhyiddin Yassin sewajarnya hanya memberi tumpuan kepada kawasan yang
ditandinginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan bukannya
melemparkan pelbagai tuduhan tidak berasas terhadap Barisan Nasional
(BN).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata,
dakwaan Muhyiddin bahawa BN akan melakukan apa sahaja bagi menghalang
rakyat di negara ini keluar mengundi pada 9 Mei depan merupakan satu
tindakan tidak bertanggungjawab.
"Tidak munasabahlah. Dulu dia (Muhyiddin) pernah berada dalam kedudukan
saya. Janganlah sudah tidak ada dalam kerajaan buat dakwaan-dakwaan
begitu, jagalah pengundi (Parlimen) Pagoh dan (Dewan Undangan Negeri)
Gambir elok-elok," katanya.
Ahmad Zahid bercakap kepada pemberita selepas Program Jiwa Murni
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kampung Sungai Sumun dekat Hutan
Melintang di sini, Khamis.
Beliau mengulas dakwaan Muhyiddin kononnya BN akan melakukan apa sahaja
termasuk kemungkinan menumbangkan pokok di atas jalan selain menawarkan
wang kepada pengundi untuk mengundi parti itu.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata,
tindakan Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berterusan
melemparkan pelbagai dakwaan konon dirinya sering disabotaj bagi
mengagalkan beliau bertanding pada PRU14, adalah tidak bertanggungjawab.
Beliau berkata, taktik sama pernah digunakan Dr Mahathir semasa menjadi
perdana menteri bagi meraih simpati rakyat pada ketika itu dan terus
menggunakan taktik sama walaupun kini tidak lagi berada dalam
pentadbiran kerajaan.
"Itulah taktik yang digunakan orang itu dan saya pun sudah tidak mahu
gelar apa pun lagi kepada beliau kerana kita pernah tertipu dengan
taktik yang digunakannya semasa menjadi pemimpin dan taktik sama masih
digunakan tapi pendekatan berbeza," katanya.
Ahmad Zahid mengulas mengenai dakwaan terbaru Dr Mahathir bahawa beliau
disabotaj Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen di
Lapangan Terbang Subang sejurus tiba dari Terengganu, Selasa lalu.
Sebelum ini, Dr Mahathir mendakwa pesawat yang sepatutnya dinaiki beliau ke Langkawi disabotaj oleh pihak tertentu.
Justeru itu, Ahmad Zahid berharap rakyat di negara ini tidak tertipu
dan perlu menolak taktik Dr Mahathir yang hanya sekadar mahu meraih
simpati.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan