Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir berharap agar isu pemilihan speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) dapat diselesaikan dengan cara baik tanpa perlu diangkat kepada pengetahuan Sultan Kedah untuk mendapatkan perkenan.
Beliau berkata sekiranya wakil rakyat pembangkang mengutamakan kepentingan negeri, mereka sepatutnya memudahkan urusan pelantikan speaker dengan menyokong calon yang dikemukakan Pakatan Harapan kelak bagi memastikan semua kerja pentadbiran dapat berjalan segera.
"Sebolehnya cuba selesaikan urusan ini di peringkat kita (kalangan ADUN (Anggota Dewan Undangan Negeri), saya harap tak perlu perkara seperti ini diangkat sampai perlu dapat perkenan Sultan (Sultan Kedah).
"Saya harap mereka (pembangkang) akan bantu kita dalam soal pemilihan Speaker, respons saya terima dari rakyat tidak ada siapa berminat untuk kita alami satu pilihan raya negeri, sehubungan itu saya akan berbincang dengan PAS bagi menyelesaikan isu ini," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan amanat pada Bicara Integriti di Alor Setar semalam.
Sebelum ini Mukhriz meminta pembangkang merestui calon speaker DUN yang akan dikemukakan Pakatan Harapan nanti bagi membolehkan segala kerja pentadbiran berjalan lancar, sekali gus mengelak daripada diadakan pilihan raya negeri.
Ini berikutan jumlah kerusi Pakatan Harapan dengan pembangkang yang sama, iaitu 18, manakala jumlah majoriti mudah diperlukan untuk melantik Speaker ialah 19.
Bagaimanapun Pesuruhjaya PAS Kedah Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi berkata masih terlalu awal bagi menjangkakan ketidaktentuan situasi politik hingga mengheret berlakunya pilihan raya negeri.
"PAS sebelum ini telah menawarkan penyelesaian melalui 'kerajaan perpaduan tanpa pembangkang’ untuk mengatasi kebuntuan, namun dipandang sepi malah ditolak oleh pihak menteri besar.
"Sikap sedemikian jelas menunjukkan pihak Pakatan Harapan tidak bersedia meraikan pilihan rakyat yang memberikan kerusi 50-50 antara kerajaan dan pembangkang. Rundingan patutnya berlaku pada masa itu, bukan sudah terhantuk baru tengadah," katanya menerusi kenyataanya, semalam.
Pakatan Harapan dapat membentuk kerajaan negeri baharu di Kedah berikutan kedudukan yang kukuh apabila memenangi 18 kerusi daripada 36 kerusi DUN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan PAS memperoleh 15 kerusi dan tiga lagi kerusi dimenangi Barisan Nasional.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan