Oleh Umi Faten Nadia Ezhar
SHAH ALAM: Seorang penganalisis politik meragui hasil kajian sebuah
badan tinjauan yang melaporkan Pakatan Harapan (PH) meraihkan sokongan
di kalangan pengundi Melayu pada separuh kedua April 2018, kebanyakannya
daripada PAS.
Edwin Michael yang juga pensyarah di Universiti Tunku Abdul Rahman
(UTAR) berpendapat analisis yang dibuat oleh Merdeka Center lebih
berpihak kepada parti pembangkang dan dilihat mengenepikan PAS sebagai
salah satu saingan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
"Kalau kita lihat setiap analisis yang dibuat oleh Merdeka Center ini
tidak pernah sama sekali berpihak kepada kerajaan. Ianya lebih menjurus
berpihak kepada pembangkang."
"Adalah satu dapatan yang boleh diragui dan dipersoalkan kredibiliti
kerana Merdeka Center ini dilihat seolah-olah mengenepikan PAS."
Beliau juga menegaskan bahawa kredibiliti PAS lebih terserlah berbanding PH ketika penamaan calon pada 28 April lalu.
Katanya, PAS dilihat sebagai satu entiti yang mampu memberikan kejutan
kerana pengundi Melayu akan beralih kepada PAS daripada PH sekiranya
tidak mengundi Barisan Nasional (BN).
"Dalam konteks PRU sekarang ini, bila bercakap mengenai undi Melayu,
sudah tidak ada lagi Pakatan Harapan. Semuanya mengenai PAS dan Barisan
Nasional.
"Sama ada saya mengundi kepada PAS ataupun saya mengundi kepada Barisan
Nasional. Saya tidak mempunyai sebab untuk mengundi Pakatan Harapan
kerana kredibiliti PAS lebih terserlah berbanding Pakatan Harapan,"
tambahnya.
Edwin juga memuji kebangkitan PAS yang cuba bangkit daripada bayangan pembangkang dan mampu menjadikan undi Melayu berpecah.
"Tetapi apa yang harus kita lihat di sini adalah kebangkitan PAS yang
berjaya memisahkan diri mereka daripada bayangan Pakatan Harapan."
Seorang lagi penganalisis politik, Prof Datuk Dr Ramlah Adam juga
menyifatkan kajian Merdeka Center itu merupakan propaganda untuk
pembangkang.
"Ini merupakan satu propaganda PH dan ini adalah salah satu strategi mereka," tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan