HALAMAN SANTAI

Rabu, 16 Mei 2018

Tony Fernandes: Industri penerbangan mampu berkembang tanpa Mavcom

 
Tidak lama selepas Mavcom berkata ia membuat laporan polis tersebut, AirAsia mengeluarkan kenyataan mengatakan ia mempunyai bukti dan fakta untuk menyokong tuduhan Fernandes.


Tan Sri Tony Fernandes berkata Mavcom perlu kekal bebas dan melayan semua pemain industri secara adil. (Gambar AFP)


BANGKOK: Kementerian Pengangkutan berupaya meningkatkan industri penerbangan tempatan tanpa memerlukan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes.

Menjelaskan kekecewaannya, Fernandes berkata, Mavcom perlu kekal bebas dan melayan semua pemain industri secara adil.

“Saya sentiasa mahu (untuk industri) diperlakukan secara adil. Ia bukan mengenai (baik) dengan AirAsia dan buruk kepada Malaysia Airlines Bhd (MAB) atau baik kepada MAB dan tidak kepada AirAsia. Lakukan apa yang baik untuk rakyat Malaysia.

“Sebelum ini kami (di AirAsia) mahu Mavcom kerana kami fikir ia akan menjadi baik untuk industri ini dan bagi mereka untuk bebas dan melihat industri ini dengan adil. (Tetapi) kini saya fikir ia adalah lebih baik untuk tidak mempunyai Mavcom,” katanya kepada pemberita Malaysia di #HalfABillion Guests Flown Celebration hari ini.

Fernandes menjawab soalan mengenai laporan polis yang dibuat Mavcom hari ini berikutan dakwaannya bahawa badan pengawal selia penerbangan tersebut memberitahu AirAsia untuk membatalkan semua 120 penerbangan tambahan yang diminta pada pilihan raya umum ke-14.

Ketua AirAsia itu berkata, berurusan dengan Mavcom adalah sukar dan menyebabkan Timbalan CEO Kumpulan AirAsia (digital, transformasi, perkhidmatan korporat) Aireen Omar, CEO AirAsia Malaysia, Riad Asmat dan CEO AirAsia X Malaysia, Benyamin Ismail menghadapi situasi sukar.
“Aireen, saya, Ben dan Riad seperti didera apabila berurusan dengan Mavcom.

“AirAsia dan saya tidak akan berhenti berjuang untuk amalan industri yang adil dan mahukan keputusan dibuat untuk manfaat semua rakyat Malaysia,” katanya.

Tidak lama selepas Mavcom berkata ia membuat laporan polis tersebut, AirAsia mengeluarkan kenyataan mengatakan ia mempunyai bukti dan fakta untuk menyokong tuduhan Fernandes.

“Kami ingin menekankan bahawa video dikeluarkan Fernandes pada Ahad, 13 Mei 2018 disokong sepenuhnya oleh bukti dan fakta, termasuk komunikasi langsung antara Riad dan Pengerusi Eksekutif Mavcom.

“Kami akan mendedahkan bukti dan fakta berkenaan kepada pihak berkuasa yang berkaitan pada masa yang tepat,” kata syarikat penerbangan itu.

Tiada ulasan: