Timbalan
Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching (tengah) beramah mesra dengan para
murid dan pelajar selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang pada
Majlis Penyampaian Hadiah Festival Bahasa dan Sastera 2018 di Balai
Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. foto NOOR
ASREKUZAIRYE SALIM,
KUALA LUMPUR – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan diberi
tanggungjawab menghidupkan kembali Kempen Membaca Kebangsaan sebagai
salah satu usaha bagi memartabatkan bahasa Melayu.
Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, pihaknya berharap
rakyat Malaysia akan dikenali sebagai masyarakat dan rakyat paling
ramai membaca di dunia pada tahun 2030.
Selain itu, jelas beliau, kerajaan turut menggalakan setiap pelajar
menguasai bahasa asing sebagai nilai tambah untuk meningkatkan ilmu dan
memenuhi keperluan kerjaya.
“Walaupun pelajar diberi penekanan kepada penguasaan bahasa Inggeris,
mereka juga digalakan menguasai bahasa tambahan yang lain seperti
bahasa Mandarin, Tamil, Arab, Jerman, Perancis dan bahasa antarabangsa
serta bahasa ibunda lain. Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching. foto NOOR ASREKUZAIRYE SALIM
“Kebolehan menguasai pelbagai bahasa ini dapat melahirkan generasi
yang mampu berkomunikasi dengan baik dan berkesan di peringkat
antarabangsa serta berjaya menguasai ilmu yang terdapat dalam pelbagai
bahasa.
“Usaha dan gerakan yang digarap mantap tidak mustahil lagu dan filem
dalam bahasa Melayu berkumandang di stesen luar negara, tidak mustahil
keberadaan bahasa Melayu dalam dunia internet, peranti telekomunikasi
terkini dan semakan bahasa secara automatik,” katanya ketika berucap
pada majlis perasmian dan penyampaian hadiah Festival Bahasa dan Sastera
di sini hari ini.
Nie Ching menambah, kementerian di bawah kerajaan Pakatan Harapan
akan turut memastikan setaraf dengan Bristish Council, Goethe Institute
dan Nippon Institut bagi melaksanakan pemartabatan bahasa kebangsaan dan
menjadi kenyataan.
Jelas beliau, ia bukan sahaja memartabatkan bahasa Melayu sebagai
bahasa kebangsaan di negara ini tetapi di peringkat serantau dan global.
Sementara itu, Festival Bahasa dan Sastera itu melibatkan
pertandingan koir dan deklamasi puisi untuk pelajar Sekolah Menengah
Persendirian Cina, Pertandingan Pidato dan Bercerita untuk pelajar
Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil serta
pertandingan Forum Pelajar Peringkat Kebangsaan. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan