HALAMAN SANTAI

Selasa, 31 Julai 2018

Turunkan umur pengundi tidak boleh dibuat secara tiba-tiba – SPR

Muhammad Azizul Osman
  MGF09052015_Undi-PRU14-BTR02-681x454
Salah seorang pengundi Cina Orang Kelainan Upaya menanda kertas undi sempena hari mengundi Pilihan Raya ke-14 (PRU14) di Sekolah Menengah Kebangsaan Tasik Selatan, Cheras Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM
 

PUTRAJAYA – Cadangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk menurunkan had umur pengundi tidak boleh dilaksana secara tiba-tiba.

Setiausaha Bahagian Pendaftaran Pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Yusniati Ishak berkata, cadangan itu akan memakan masa yang panjang untuk dilaksanakan kerana melihatkan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan.

“SPR melaksanakan tugas berdasarkan kepada undang-undang yang berkuatkuasa. Sebarang cadangan untuk menurunkan umur mengundi melibatkan pindaan kepada undang-undang iaitu Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika ditemui media selepas Taklimat Mengenai Proses Penyediaan Daftar Pemilih Tambahan Setiap Suku Tahun di ibu pejabat SPR hari ini.

PH menerusi Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, kerajaan bercadang untuk membuat pindaan undang-undang dengan menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun.

Cadangan itu adalah salah satu manifesto dalam PH bagi mengubah usia layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

Bagaimanapun, perubahan ke arah itu memerlukan pindaan pada Perkara 119 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Untuk berbuat demikian, PH nyata memerlukan kerjasama daripada anggota Parlimen pembangkang disebabkan kekangan status dua pertiga kerusi Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, Yusniati menambah, SPR hanya akan melaksanakan cadangan itu sekiranya ia dibawa ke Dewan Rakyat untuk pindaan.

“SPR adalah badan yang akan melaksanakan sekiranya pelaksanaan itu sudah dibuat dan boleh dilaksana.

“Tidak boleh dibuat secara tiba-tiba sebab ia menggunakan undang-undang tersebut. Kalau belum dipinda maka SPR tidak dapat buat,” katanya.

Malah katanya, SPR juga belum bercadang untuk menggunapakai kaedah elektronik bagi proses pendaftaran pemilih. -MalaysiaGazette


Tiada ulasan: