HALAMAN SANTAI

Selasa, 31 Julai 2018

K'jaan digesa gugur semua kes Akta Hasutan

MALAYSIAKINI

 

Amnesty kebangsaan Malaysia menggesa penghapusan Akta Hasutan susulan pembebasan kartunis politikal Zulkiflee SM Anwar Ulhaque (Zunar) dan beberapa yang lain dari dakwaan di bawah akta berkenaan.

Selain Zunar, bekas anggota parlimen Padang Serai N Surendran dan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar R Sivarasa juga dibebaskan daripada dakwaan di bawah akta itu.

"Pembebasan mereka merupakan perkembangan positif namun pihak berkuasa Malaysia perlu melakukan lebih untuk melindungi rakyat yang berani bersuara.

"Kerajaan baru perlu mengambil peluang ini untuk membuka jalan kepada era baru bagi hak asasi manusia dengan mengembalikan sepenuhnya kebebasan berekspresi dan menghapuskan Akta Hasutan 1948 yang merupakan undang-undang usang yang sering digunakan untuk menyekat perbezaan pendapat," kata pengkaji badan berkenaan, Rachel Chhoa-Howard dalam kenyataan hari ini.

Rachel juga menggesa agar pihak berkuasa menggugurkan dakwaan lain di bawah Akta Hasutan dan memastikan tiada lagi pihak lain yang ditahan, disiasat, didakwa atau dipenjara sementara proses pemansuhan akta itu.

Semalam, Pejabat Peguam Negara menarik semula dakwaan ke atas Zunar dan Surendran atas dasar pihak pendakwaan tidak lagi berminat ke atas kes terhadap mereka.

Zunar sebelum ini didakwa menghina badan kehakiman melalui kenyataan di Twitter berhubung pensabitan kes liwat Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Surendran pula didakwa kerana dikatakan mengeluarkan kenyataan media "menghasut" bertajuk "Keputusan penghakiman bertulis Mahkamah Rayuan dalam kes Fitnah 2 tempang dan tidak berasas"
Manakala dakwaan ke atas Sivarasa digugurkan selepas Pejabat Peguam Negara menerima surat perwakilan beliau.

Dakwaan ke atas Sivarasa adalah berhubung ucapannya dalam himpunan Kita Lawan pada 2015 yang dikatakan mengkritik sistem kehakiman berhubung pemenjaraan Anwar kes liwat.

Tiada ulasan: