HALAMAN SANTAI

Selasa, 31 Julai 2018

Azalina bimbang pengguguran kes babitkan pemimpin HARAPAN

MALAYSIAKINI

   

Bekas menteri di jabatan perdana menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said melahirkan kebimbangan dengan trend pengguguran kes-kes mahkamah yang membabitkan pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) sejak kebelakangan ini.

“Lebih membimbangkan apabila kes-kes tersebut melibatkan kes jenayah seperti kes hasutan, pecah amanah, pembocoran maklumat dan lain-lain.

“Perkara ini memerlukan penjelasan yang kukuh kerana dibimbangi akan memberi persepsi negatif terhadap amalan doktrin pengasingan kuasa di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan bahawa badan kehakiman perlu kekal bebas daripada mana-mana campurtangan termasuk dari badan eksekutif mahupun legislatif.

“Kerajaan HARAPAN perlu lebih berhati-hati dalam setiap tindakan yang diambil agar tidak mewujudkan persepsi yang salah terhadap badan kehakiman dan perundangan di negara ini.

“Maka semua pihak seharusnya berpegang dengan prinsip ‘rule of law’ supaya prestij badan kehakiman negara terus dihormati,” katanya.

Azalina juga mahu semua pihak menghormati akan kedudukan dan kuasa seseorang Peguam Negara untuk berperanan secara adil dan saksama seperti mana yang termaktub di bawah Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

“Di bawah Perkara 145(3) turut menegaskan bahawa kuasa budi bicara Peguam Negara adalah mutlak dan tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah,” katanya.

Kenyataannya itu dibuat selepas pembebasan kartun politik Zulkiflee SM Anwar Ulhaque, yang lebih dikenali sebagai Zunar, dan beberapa yang lain yang dibebaskan daripada dakwaan hasutan mereka semalam.

Selain Zunar, bekas Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendran dan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R Sivarasa turut dibebaskan dari tuduhan hasutan mereka.

Sebelum ini, pengkritik mendakwa bahawa badan kehakiman sering mengikut rentak kerajaan yang memerintah.


Tiada ulasan: