HALAMAN SANTAI

Sabtu, 28 Julai 2018

LFL: Hakim Mahkamah Sesyen diwajibkan hadir kursus BTN sebelum PRU14

MALAYSIAKINI



Kumpulan peguam Lawyers for Liberty (LFL) mendakwa hakim-hakim Mahkamah Sesyen diarahkan untuk menghadiri kursus Biro Tatanegara (BTN) dua bulan sebelum PRU ke-14.

LFL berkata pihaknya menerima salinan surat - yang turut dilihat Malaysiakini - mengarahkan hakim untuk hadir ke program 'Latihan Transformasi Negara' pada 16 hingga 18 Mac.

Surat bertarikh 15 Februari itu, yang disahkan LFL ditujukan kepada hakim Mahkamah Sesyen di seluruh negara, menyatakan kursus tersebut anjuran Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP) dengan kerjasama BTN.

"Objektif program adalah untuk meningkatkan semangat patriotisme, menerapkan semangat kerja berpasukan dan menyemai nilai-nilai murni di kalangan warga PKPMP.

"Selain itu, latihan ini juga bertujuan memupuk sinergi bersama dalam hubungan kerjasama strategik ke arah memacu pembangunan negara," menurut surat itu.

Surat itu juga menyatakan kehadiran ke program itu adalah wajib.

Program itu diadakan di Akademi Kenegaraan, Kuala Lumpur.

Malaysiakini bagaimanapun tidak dapat mengesahkan ketulenan surat itu.

'BTN begitu tercemar'

Dalam kenyataan hari ini, Penasihat LFL N Surendran berkata arahan tersebut "tak dapat diterima dan mengejutkan".

Beliau mempersoalkan objektif program itu dan berkata ia boleh memberi ancaman kepada kebebasan kehakiman.

"BTN dikenal mempromosikan perkauman dan perpecahan dan sebagai alat propaganda BN. Ia begitu tercemar dan dikaitkan dengan kezaliman BN, dan Pakatan Harapan dalam manifestonya berjanji untuk membubarkannya.

"Hakim mesti tidak berat sebelah dan bebas. Ini penting untuk menegakkan kedaulatan undang-undang dan mengekalkan pemisahan kuasa," katanya.

Beliau yang juga bekas anggota parlimen Padang Serai menggesa PKPMP menjelaskan surat itu, dan menyatakan sama ada latihan seumpama itu masih diteruskan.

"Perlu ada semakan semula dan penggantungan arahan, modul, kursus dan program latihan yang berisiko mengancam kebebasan kehakiman kita," katanya lagi.

BTN sekian lama didakwa menjadi alat kerajaan untuk menyampaikan propaganda kerajaan terhadap penjawat awam.

HARAPAN dalam manifestonya memasukkan BTN dalam senarai agensi yang akan dibubarkan.

Namun laporan awal bulan ini menyatakan ia akan dikekalkan bawah Jabatan Perdana Menteri.

Tiada ulasan: