Pemimpin Umno dan PAS hari ini bersama-sama dalam Himpunan Kebangkitan Ummah yang dianjurkan untuk mempertahankan Melayu dan Islam daripada unsur yang didakwa mengancam kepentingan dan haknya bawah Perlembagaan Persekutuan.
Antara pemimpin yang sudah hadir adalah Setiausaha Agung PAS Datuk takiyuddin Hassan, Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan, anggota Jawatankuasa Pusat PAS Nik Abduh Nik Aziz, anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Lokman Noor Adam dan bekas Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Datuk Razlan Rafii.
Himpunan yang bertemakan 'Malaysia Baru Pasca PRU-14: Islam Melayu Terancam' itu anjuran gabungan 300 NGO Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) dan bertempat di padang Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Setakat ini lebih 1,000 hadirin sudah mula memenuhi padang itu.
Turut hadir adalah bekas menteri dan anggota BERSATU Tan Sri Rais Yatim.
Dalam ucapan lantangnya, Rais menegaskan kembali bantahan terhadap kerajaan untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
"Kita tak boleh ada lebih daripada satu sistem peperiksaan. Lihat Singapura, Indonesia, India...semuanya hanya ada satu sistem.
"(Jadi) apa cerita nak ada dua sistem (dan) sijil?" soalnya.
Sejak himpunan bermula pada pukul sembilan pagi, sejumlah pemimpin NGO telah memberikan ucapan untuk membantah ancaman terhadap Melayu dan Islam yang didakwa disokong kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan