HALAMAN SANTAI

Sabtu, 28 Julai 2018

Jangan fokus dosa peribadi - Dr Maza

Madiha Abdullah, Astro Awani
Jangan fokus dosa peribadi - Dr Maza
MOHD ASRI: Mencuri dan merompak, beri kesan kepada masyarakat.
 
 
SHAH ALAM: Kelompok pemerintah perlu menyedari bahawa mereka mempunyai tanggungjawab dan cara berbeza dengan individu lain.

Mengambil contoh junjungan besar Nabi Muhammad SAW, Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, atau Dr. Maza, memberi peringatan bahawa cara seorang pemerintah melaksanakan Islam adalah tidak sama dengan pelaksanaan untuk diri sendiri.

"Empat kali Rasulullah tolak aduan berkenaan zina. Tetapi bila diadukan tentang rompakan atau rasuah, Baginda terus hantar pasukan untuk buat siasatan.
 
"Ini kerana, zina itu dosa peribadi. Tetapi mencuri dan merompak, beri kesan kepada masyarakat," kata Mohd Asri.

Tambah beliau, apa yang melambangkan Islam dalam pemerintahan bukanlah apa yang ada pada luaran, sebaliknya integriti dan ketelusan yang dipaparkan dalam pentadbiran.

"Kalau kita pergi restoran Muslim, apa yang kita nilai adalah kualiti makanan yang dihidangkan. Kalau pekerja restoran itu pakai skirt, itu hak dia kerana itu antara dia dan Allah.

"Kalau restoran itu pasang rakaman orang mengaji sekalipun, ia tidak menentukan tahap keislaman atau keimanan orang di dalamnya.

"Sebagai orang Islam, kita tak boleh bina kuil. Tapi seorang pemerintah Islam boleh bina kuil jika dalam negaranya ada penganut Hindu," tegasnya.

Beliau juga menegaskan kepentingan untuk mewujudkan kumpulan pemikir dlm kerajaan yang berperanan menjadikan Islam sebagai garis panduan, sekaligus mengangkat martabat Islam.

Mohd Asri berkata demikian dalam sesi Wacana Sinar ke 66 bertajuk Islam di Era Pakatan Harapan, yang berlangsung di Kompleks Karangkraf, Shah Alam.

Selain Dr. Maza, tiga panel lain yang turut serta dalam sesi kali ini ialah Hasanuddin Mohd Yunus, Naib Presiden Amanah, Fadhli Shaari, Naib Ketua Pemuda Pas, dan Rosdi Long, Penasihat Agama Umno Selangor. 
 
 

Tiada ulasan: