HALAMAN SANTAI

Jumaat, 27 Julai 2018

Mahkamah dengar semula kes ‘bin Abdullah’ pada 18 Okt ini

THE MALAYSIAN TIMES
 


PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan menetapkan 18 Okt ini untuk mendengar kembali rayuan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan dua lain terhadap keputusan membenarkan kanak-kanak Islam tidak sah taraf dibinkan dengan nama bapanya dan bukan ‘Abdullah’.

Tarikh tersebut ditetapkan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Syahrin Jeli Bohari dalam kamar selepas pengurusan kes hari ini.

Prosiding kes pengurusan itu turut dihadiri Peguam Kanan Persekutuan, Mazlifah Ayob, yang mewakili JPN, ketua pengarahnya dan kerajaan serta barisan peguam masing-masing mewakili Majlis Agama Islam Johor, Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Peguam Nizam Bashir, yang mewakili satu pasangan dan anak lelaki mereka, dalam kes tersebut, memaklumkan memandangkan isu berkenaan adalah berkepentingan awam, maka panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan akan mendengar kembali kes tersebut.

Beliau berkata rayuan itu akan didengar kembali berikutan peletakkan jawatan Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif, yang mengetuai panel lima hakim mendengar kes itu pada 7 Feb lalu.

Panel tersebut ketika itu menangguhkan keputusan mahkamah.

Susulan peletakkan jawatan oleh Md Raus, Nizam berkata kuorom tersebut tidak cukup untuk memutuskan perkara tersebut.

Beliau berkata pengurusan kes itu adalah atas arahan Ketua Hakim baharu, Tan Sri Richard Malanjum, yang ketika dilantik baru-baru ini, menyatakan kes-kes melibatkan isu-isu perlembagaan akan didengar oleh sembilan panel hakim dan kes kepentingan awam oleh tujuh panel hakim Mahkamah Persekutuan.

Pada 25 Mei tahun lepas, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan keluarga terbabit yang memfailkan semakan kehakiman untuk memaksa ketua pengarah JPN mengantikan nama ‘Abdullah’ yang dibinkan kepada kanak-kanak itu dengan nama bapanya sendiri dalam sijil kelahiran.

Mahkamah Rayuan, dalam penghakiman bertulis, 25 Julai tahun lalu, memutuskan bahawa ketua pengarah JPN tidak terikat dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dalam menentukan nama bapa pada sijil kelahiran bagi anak orang Islam yang dilahirkan luar nikah.

Bagaimanapun, pada 8 Sept tahun lalu, Mahkamah Persekutuan membenarkan JPN, ketua pengarahnya dan kerajaan kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan tersebut.– Bernama

Tiada ulasan: