HALAMAN SANTAI

Selasa, 31 Julai 2018

Ku Li gesa Kelantan warta tanah rizab Orang Asli

 
Ahli parlimen Gua Musang itu mengulas mengenai masalah pekerja ladang durian Musang King dan Orang Asli saling membuat sekatan dekat Pos Tohoi di Gua Musang.


Ku Li meminta kerajaan negeri menjaga kepentingan Orang Asli di Kelantan.


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah hari ini berkata satu penyelesaian perlu dibuat bagi mewartakan tanah rizab Orang Asli di Kelantan.

“Saya rasa satu penyelesaian mesti dibuat (seperti) di negeri lain yang mewartakan sebahagian sebagai rizab Orang Asli, tapi di Kelantan tak ada yang dirizab sebagai kawasan Orang Asli,” katanya di lobi parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai sekatan yang dibuat membabitkan pekerja ladang durian Musang King dan Orang Asli dekat Pos Tohoi di Gua Musang.

Tengku Razaleigh yang dikenali sebagai Ku Li berkata ini disebabkan Orang Asli merasakan tanah adat atau hutan simpan merupakan kawasan mereka.
Ku Li menambah, apa yang diperkatakannya itu merupakan pendapat daripada Orang Asli.
“Jadi dia rasa tak puas hati lah tak dapat layanan, kita pun duduk di tengah.

“Kita memang jaga kepentingan Orang Asli tapi kerajaan negeri kena ambil kira perasaan mereka dengan beri layanan permintaan mereka, itu pendapat saya,” katanya.

Mengulas mengenai penstukturan Khazanah Nasional Berhad, beliau berkata kerajaan mempunyai prerogatif (keistimewaan) untuk menstruktur syarikat itu mengikut kemahuan.

Semalam, kerajaan mengumumkan pelantikan 5 ahli lembaga pengarah Khazanah Nasional Berhad baharu dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi.

Turut dilantik sebagai Pengarah adalah Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato Seri Mohamed Azmin Ali; Ahli Majlis Penasihat Kerajaan, Tan Sri Mohd Hassan Marican; bekas Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Dr Sukhdave Singh dan Pengerusi Maybank Asset Management Group Bhd, Goh Ching Yin.

Tiada ulasan: