HALAMAN SANTAI

Jumaat, 27 Julai 2018

Jangan sekadar tabur janji


Lokman Noor Adam
Lokman Noor Adam
 
 
SUNGAI KANDIS - Kerajaan sepatutnya memikirkan cara untuk menambah pendapatan negara bukannya hanya sekadar menabur janji.

Calon BN Pilihan Raya Kecil (PRK), Datuk Lokman Noor Adam berkata segala janji kerajaan kepada rakyat hanya mengurangkan pendapatan negara.

"Sepatutnya kerajaan hari ini berfikir macam mana nak tambah pendapatan negara. Bukan berjanji nak menambah subsidi tapi pada masa yang sama mereka menjanjikan juga untuk mengurangkan pendapatan negara.

"Saya tak faham apa nak jadi dengan negara ini. Kalau kita lihat setiap hari ada sahaja kesilapan dibuat kerajaan PH lakukan," katanya kepada pemberita ketika berkempen di sekitar Kampung Jawa, hari ini.

Berkaitan isu terkini soal royalti minyak 20 peratus yang dijanjikan kerajaan kepada empat negeri, Lokman berkata pihaknya sudah menyatakan daripada awal perkara itu tidak akan berlaku.

"Memang daripada awal kita beritahu, ini (20 peratus) tidak akan berlaku. Pada masa sama kerajaan nak turunkan harga minyak. Ini bermakna pendapatan daripada Petronas akan berkurang dan dividen yang Petronas akan bayar kepada kerajaan Persekutuan juga akan berkurangan.

"Secara tak langsung, apabila pendapatan negara berkurangan, macam mana kerajaan nak 'survive' untuk memberikan lebih banyak subsidi?" katanya.

Semalam, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilaporkan berkata kerajaan tidak dapat melaksanakan janji untuk menambah pembayaran royalti minyak 20 peratus kepada negeri-negeri pengeluar minyak dengan kadar segera.

Menurut Azmin, penambahan royalti 20 peratus itu akan memberi impak kewangan serius kepada Petronas dan kerajaan Persekutuan.

[ARTIKEL BERKAITAN : Royalti minyak: Janji 20 peratus tak boleh laksana segera]

Kata Lokman, kenyataan menteri itu menunjukkan rakyat di keempat-empat negeri terlibat iaitu Sabah, Sarawak, Kelantan dan Terengganu telah ditipu secara terang-terangan oleh PH.

"Sebelum ini, BN beri 5 peratus daripada hasil kasar minyak kepada empat negeri ini. PH tawarkan 20 peratus dan memang jelas janji ini menyebabkan mereka berjaya menawan hati Sabah yang sebelum ini dianggap sebagai deposit tetap BN.

"Tiba-tiba semalam mereka hanya boleh beri 20 peratus daripada keuntungan bersih ini amat melampau sebab 20 peratus daripada keuntungan bersih itu mungkin lebih kurang daripada 5 peratus keuntungan kasar (yang diberi BN)," katanya.

Tiada ulasan: