Bekas ketua pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (ME10) Datuk Hasanah Abdul Hamid akan membuat laporan polis berhubung dakwaan yang menuduh beliau menulis surat yang dihantar kepada CIA menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14 sebelum ini.
Menurut Hasanah, tindakan itu diambil selepas mendapat nasihat peguamnya.
Bagaimanapun, berdasarkan laporan The Star Online yang memetik kenyataan Hasanah, tiada butiran tempat dan ketika laporan itu akan dibuat.
Hasanah juga memaklumkan beliau akan mengadakan sidang media berhubung perkara itu.
"Saya juga akan mengadakan sidang media menjelaskan situasi sebenar," katanya dipetik sebagai berkata.
Butiran sdang media yang dimaksudkan itu juga tidak dinyatakan.
Hasanah berkata demikian sebagai mengulas laporan media yang mengaitkan beliau sebagai penulis surat yang dihantar kepada Pengarah CIA, Gina Haspel.
Surat berkenaan menggambarkan Datuk Seri Najib Razak sebagai pemimpin progresif yang menyokong AS, manakala Dr Mahathir Mohamad digambarkan sebagai "anti-Barat".
Ketika dihubungi Malaysiakini, Najib bagaimanapun menafikan mengetahu kewujudan surat itu mahupun dakwaan memberi arahan kepada Hasanah untuk menulis surat itu.
Menegaskan perkara itu semalam, bekas perdana menteri juga berkata perkara seumpama itu adalah rahsia kerajaan.
"Ini (surat) merupakan rahsia kerajaan. Jika kita dedahkan, bererti tak ada apa yang boleh dianggap rahsia kerajaan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan