HALAMAN SANTAI

Jumaat, 27 Julai 2018

Umno kutuk NGO samakan LTTE dengan perjuangan Palestin

MALAYSIAKINI

    ULASAN | Umno terkejut dengan kenyataan pertubuhan bukan-kerajaan (NGO) Malaysian Tamillan Today yang menyamakan perjuangan pertubuhan pengganas Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE), dengan perjuangan Palestin.

Kami mengutuk keras kenyataan presidennya N Shanmugam dan mendesak rakyat Malaysia serta umat Islam menolak pendirian NGO ini.

Perlu diingat bahawa asas perjuangan LTTE yang diasaskan oleh Vellupillai Prabhakaran pada tahun 1976 ialah bagi menuntut kerajaan Sri Lanka memberi autonomi di wilayah timur laut negara itu, atau sebuah negara merdeka bagi orang Tamil.

Meskipun mereka mendakwa sudah menduduki wilayah Jaffna dan Batticaloa sejak 20,000 tahun lalu dan adalah rakyat keturunan Tamil Sri Lanka, sebuah negara berdaulat dan merdeka.

LTTE melancarkan serangan gerila dan membunuh ramai orang awam yang tidak berdosa serta merosakkan harta benda awam dalam memperjuangkan tuntutannya.

Dalam erti kata lain, mereka mahukan sebuah negara untuk orang Tamil di dalam sebuah negara merdeka, serta menentang kerajaan Sinhala di Colombo.

Berlainan dengan penduduk Palestin, mereka menerima pendatang Yahudi di bawah Perisytiharan Balfour tahun 1926, dan membenarkan satu penempatan dikhususkan untuk mereka ketika itu.

Tetapi Yahudi Israel sedikit demi sedikit menjajah tanah nenek-moyang mereka dan melancarkan Perang Enam Hari pada 1967 untuk meluaskan cengkaman mereka ke atas bumi Palestin.





Dengan rang undang-undang Bumi Yahudi minggu lepas, semua tanah Israel dan wilayah Arab yang didudukinya menjadi hak Yahudi, sekali gus menyekat sebarang tuntutan Palestin dan umat Islam ke atas Baitulmuqaddis atau Jerusalem.

Rakyat Palestin ditindas di negara sendiri, berlainan dengan LTTE yang ingin membina wilayah sendiri di dalam sebuah negara berdaulat, meskipun mereka sendiri adalah rakyat Sri Lanka. Namun, mereka enggan menjadi warganegara Sri Lanka dan mahukan negara sendiri.

Hal ini samalah dengan tuntutan keturunan Sikh pimpinan Harchand Singh Longowal, rakyat India yang mahu menuntut penubuhan sebuah negara Khalistan di bumi India, suatu masa dahulu.

Kaji semula NGO berkenaan

Janganlah jadikan Palestin sebagai asas untuk menyokong pertubuhan pengganas LTTE. Buatlah kajian sejarah terlebih dahulu.

Sebagai rakyat Malaysia, ternyata NGO ini boleh menjadi ancaman kepada negara ini. Umno dengan itu mendesak kerajaan mengkaji semula kewujudannya dan menyiasatnya.

Seperti Gerakan Acheh Merdeka (GAM), Umno tidak pernah menyokong perjuangan mereka untuk menubuhkan negara asing di wilayah Indonesia.

Jadi, berhati-hatilah apabila mengeluarkan kenyataan. Kita bimbang pendirian sebegini akan mewujudkan suasana tidak baik kepada rakyat dalam negara ini.


DATUK DR SHAMSUL ANUAR NASARAH ialah Ketua Penerangan Umno.

Tiada ulasan: