HALAMAN SANTAI

Jumaat, 27 Julai 2018

Cadangan serap pemain naturalisasi diperhalusi

MALAYSIAKINI


Cadangan menyerapkan pemain naturalisasi ke dalam skuad bola sepak kebangsaan perlu diperhalusi dengan baik, kata Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini.

Beliau berkata, perkara paling mustahak adalah untuk memberi penekanan kepada pembangunan di peringkat akar umbi supaya negara dapat melahirkan generasi muda yang berkelayakan dan berkebolehan dalam bola sepak.

“Saya nak tekankan sekali lagi, tidak ada jalan penyelesaian yang mudah.

"Pembangunan akar umbi amat penting dan kita nak pastikan ada ramai pemain Malaysia yang boleh mengangkat dan memartabatkan jiwa bola sepak negara.

“Jika tidak boleh lahirkan pemain muda yang berbakat, ia bermaksud pihak saya (Kementerian Belia dan Sukan) dan FAM telah gagal,” katanya apabila diminta mengulas mengenai cadangan membawa masuk pemain asing yang diberi kewarganegaraan (naturalisasi) ke dalam skuad Harimau Malaya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) di antara Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Ehime di Akademi Badminton Malaysia di Kuala Lumpur.

Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin sebelum ini berkata menyerapkan pemain yang mendapat kerakyatan secara naturalisasi antara cadangan untuk meningkatkan prestasi skuad Harimau Malaya.

Sebelum ini, badan induk itu hanya memberi lampu hijau kepada pemain berdarah campuran yang memiliki hubungan susur-galur di Malaysia untuk beraksi bersama skuad kebangsaan.

Antara pemain berdarah campuran yang sudah mewakili skuad kebangsaan ialah Matthew Davies (Pahang), Natxo Insa (JDT), Brendan Gan (Perak) dan Khair Muhammad Jefri Jones (Melaka United).

Mengenai hasrat FAM mahu meningkatkan penglibatannya dalam Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) yang berada di bawah KBS, Syed Saddiq berkata pihaknya bersedia untuk berkolaborasi dengan FAM demi memartabatkan sukan bola sepak negara.

“Saya sempat jumpa Datuk Hamidin di Indonesia hari itu, ada perbincangan mengenai hala tuju bola sepak Malaysia.

"Saya ada minta pihak FAM untuk bentangkan pelan jangka pendek dan panjang mereka untuk kita cari titik pertemuan bersama.

“Kita nak pastikan bahawa kita bekerjasama sebaik mungkin dan pastikan bahawa pembangunan akar umbi dapat ditingkatkan,” katanya.

Sebelum ini, mantan Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata pihak PPBN enggan bekerjasama dengan badan induk bola sepak negara itu.- Bernama


Tiada ulasan: