HALAMAN SANTAI

Ahad, 29 Julai 2018

Lelaki rogol gadis lepas jual ubat besar payudara di Wechat

 
   

Seorang lelaki yang terlibat beberapa kes rogol selepas memperdaya gadis menerusi laman sosial Wechat berjaya ditahan polis di sebuah pusat membeli belah di Perai, di Bukit Mertajam semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata lelaki berusia 37 tahun itu ditahan pada pukul 2 petang dipercayai ketika sedang menunggu seorang lagi mangsa yang dikenalinya menerusi Wechat.

"Hasil maklumat dan bantuan orang awam, polis berjaya menahan lelaki itu dan merampas sebuah telefon bimbit yang digunakannya untuk memperdaya gadis-gadis dengan mendakwa menjual ubat membesarkan payudara.

"Suspek juga menerusi Wechatnya menyamar sebagai wanita dan akan menyuruh pembeli yang membeli ubatnya menghantar gambar payudara untuk melihat sama ada terdapat perubahan selepas memakan ubat tersebut," katanya di Bukit Mertajam hari ini.

Beliau berkata selepas itu lelaki berkenaan akan memaksa pembelinya datang ke pusat membeli belah tersebut dan jika ingkar dia akan menyebarkan gambar payudara mangsa sebelum membawa ke sebuah kedai kosong di tingkat empat dan merogol gadis tersebut.

Nik Ros Azhan berkata mangsa terbaharu lelaki itu adalah seorang pelajar Tingkatan Satu yang mendakwa dipaksa suspek untuk datang ke pusat membeli belah berkenaan sebelum merogolnya malah lelaki tersebut turut mengugut akan menyebar gambar bogelnya jika dia membuat laporan polis.

Katanya mangsa yang merupakan anak tunggal bertindak membuat laporan polis selepas keluarganya mengetahui mengenai kejadian tersebut.

"Selain remaja perempuan berusia 13 tahun itu, suspek turut mengaku merogol tiga gadis lain dengan menggunakan modus operandi yang sama. Dia kini direman selama enam hari bagi membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata lelaki itu terlibat dalam kegiatan berkenaan sejak Disember lepas dan Nik Ros Azhan meminta sesiapa yang pernah menjadi mangsa lelaki itu agar tampil membuat laporan polis.

Dalam perkembangan lain, Nik Ros Azhan berkata dua lelaki geng curi motosikal dan pecah rumah ditahan polis di Taman Sejahtera di sini kira-kira pukul 3.40 pagi semalam.

"Dua lelaki berusia 25 dan 26 tahun itu ditahan ketika sedang menaiki sebuah motosikal dalam keadaan mencurigakan dipercayai sedang mencari rumah di taman tersebut untuk mereka pecah masuk," katanya.

Katanya hasil pemeriksaan ke atas dua lelaki yang mempunyai pelbagai rekod lampau itu, polis merampas sarung tangan, besi pencungkil tayar, pemutar skru, playar dan satu set dril yang dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah.- Bernama


Tiada ulasan: