HALAMAN SANTAI

Sabtu, 28 Julai 2018

Khalid: Himpunan Ummah hanya timbul ketegangan

 
   

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH) Khalid Samad mempertikaikan tindakan gabungan 300 NGO Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) yang mahu mengadakan himpunan esok.

Menteri wilayah persekutuan itu menyifatkan tindakan itu hanya akan menimbulkan ketegangan.
Sedangkan, katanya, perkara yang wajar dilakukan ialah mencari penyelesaian.

"Saya rasa bukan mereka sahaja yang membela ummah. Masalahnya ada satu pihak anggap dia sahaja yang bela ummah dan satu lagi pihak dia sahaja yang jaga kepentingan Melayu.

"Ia menimbulkan ketegangan. Apa yang kita perlu cari ialah penyelesaian yang baik secara keseluruhan daripada semua pihak.

"Saya rasa gambaran konon Melayu tersepit, dalam bahaya beri persepsi yang ingin diwujudkan (pihak tertentu). Sedangkan ramai masyarakat Melayu dan Islam lebih terjamin (keadaan mereka)," katanya pada sidang media di Kampung Baru hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas Himpunan Ummah yang akan diadakan esok sebagai membantah pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Himpunan itu juga dikaitkan dengan persepsi bahawa kepentingan Melayu dan Islam terancam selepas Pakatan Harapan (HARAPAN) menjadi kerajaan.

Sementara itu, bercakap mengenai pembangunan Kampung Baru, Khalid yang juga anggota parlimen Shah Alam berkata beliau akan mengadakan perbincangan bersama Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ini kerana, menurutnya, perdana menteri berusia 93 tahun itu mempunyai wawasannya tersendiri berhubung pembangunan di Kampung Baru.

"Dia (Dr Mahathir) tidak mahu hutan konkrit di Kampung Baru.
 
"Kita kena kekalkan identiti orang Melayu. Maka ia memerlukan pendekatan berbeza dan perlu dikaji kembali.

"Jadi saya nak kena bincang dengan Tun Mahathir untuk libatkan wawasan dia," katanya lagi.


Tiada ulasan: