HALAMAN SANTAI

Sabtu, 28 Julai 2018

Kementerian Pertahanan perlu selaraskan pencen veteran tentera, saran Bersatu Kedah

 
Kementerian Pertahanan perlu selaraskan pencen veteran tentera, saran Bersatu Kedah


Kementerian Pertahanan perlu segera menyelaraskan pencen yang diterima oleh pesara tentera tanpa berlengah,kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Bersatu Negeri Kedah, Mejar (B) Anuar Abdul Hamid.

Menurut beliau sejak menerajui persatuan veteran bekas tentera selama 18 tahun di Merbok, terlalu banyak masalah veteran tentera yang berpencen dan tidak berpencen belum dapat diselesaikan oleh kementerian.

“Pencen yang diterima oleh veteran tentera yang berpencen setelah berkhidmat 21 tahun tidak diselaraskan sehingga kini.


Mejar (B) Anuar Abdul Hamid. Foto: Sayuti Zainuddin.

“Terdapat jurang perbezaan yang amat ketara jika dibuat perbandingan dan ianya mesti diberi perhatian serius.

“Berdasarkan semakan dan aduan yang diterima bagi jawatan Pegawai Waran Satu (PW1) sebelum ini mereka hanya menerima pencen antara RM1100 sehingga RM1200 sahaja dan amat jauh bezanya dengan PW1, ” jelasnya ketika ditemui.

Malah katanya perbezaan yang amat besar dengan pencen sehingga melebihi RM3000 bagi PW1 kini perlu diselaraskan agar PW1 sebelum ini mendapat ganjaran yang sama.

“Begitu juga dengan pencen yang diterima oleh bekas Panglima Tentera Udara dan bekas Panglima Tentera Laut yang pertama pencen mereka hanyalah lebih RM2000 sahaja.

“Kerajaan harus menyelaraskan pencen ini memandangkan mereka yang terdahulu merupakan pejuang tanah air yang pernah menentang komunis serta juga zaman darurat.

“Persatuan bekas veteran tentera mempunyai ramai pakar undang-undang dan peguam yang peka mengenai gaji, kenaikan pangkat maupun pencen dari segi undang-undang, ” tegasnya.

Sehubungan itu katanya, pertemuan dengan Menteri Pertahanan untuk kali kedua amat diperlukan setelah pertemuan kali pertama tidak dapat menyelesaikan pelbagai kemelut yang timbul.

Oleh kerana itu tambahnya, nasib bekas veteran tentera yang berpencen setelah berkhidmat 21 tahun wajib diberi perhatian serius dengan segera.

Manakala bekas tentera yang tidak berpencen serta berkhidmat selama 18 tahun turut perlu diberi pembelaan setelah Pakatan Harapan menerajui Putrajaya.

Ujarnya lagi, tiada istilah nanti dan tunggu untuk tempoh yang lama bagi menyelesaikan segala kemelut melibatkan bekas veteran tentera.

Tiada ulasan: